Ahad, Julai 29, 2012

Bulan Puasa Bulan Belajar Memasak..

Salam Ramadhan..
Syukur alhamdulillah,  hari ini puasa kita sudah memasuki hari yang ke sembilan..diam tidak diam, masa seakan-akan cepat berlalu...

Dibulan puasa ini, selera makan semakin bertambah..anak-anak pun banyak membuat pelbagai permintaan makanan. Walaupun bazar ramadhan melambak di sana sini, namun sebagai ibu, rutin memasak untuk hidangan berbuka puasa ini adalah rutin wajib..Cuma kekadang, dek kerana kepenatan...terpaksalah melilau ke bazar mencari makanan..

Bagi saya pula, dibulan puasa ini, otak semakin ligat untuk diperah mencari idea memasak hidangan yang berbeza setiap hari. Saya rasa bukan saya sahaja yang menghadapi situasi ini. Tika berbual dengan ibu-ibu lain pun mereka berbicara berkenaan perkara yang sama...."Tak Tahu Nak Masak Apa"...

Berkenaan masakan pula, selalunya permintaan makanan tu kadang-kadang melangkaui batas kepakaran kita..Maka jadilah macam saya ini...bulan ini bulan belajar memasak...

Bagi suami saya, menu berbuka wajib adalah nasi...jadi saya sentiasa kena berfikir bagaimana mahu mempelbagaikan hidangan lauk..sementara anak-anak pula tidak kisah...

Untuk memikirkan hidangan yang baru, saya terpaksa meng'explore' facebook atau google mencari pelbagai resepi yang mudah tetapi sedap..

Semalam petang saya memasak ikan siakap stim...juga menggunakan resepi internet...




Alhamdulillah ...suami memuji ....

Hari ini, masih memikir apa yang ingin dimasak pula?

esok....

esok...

esok...

sampai habis puasa.....( pening den....)




Sabtu, Julai 21, 2012

Selamat Berpuasa

Syukur alhamdulillah kerana Allah memanjangkan usia saya untuk merasai nikmat bersahur pertama bersama  keluarga saya..

Seawal pukul 4 pagi, rutin sebagai ibu  memasak lauk sahur untuk suami dan anak-anak dilaksanakan.. Sudah tentu rasa gembira kerana dapat menyediakan juadah bersahur walaupun ala kadar dan sederhana sahaja.

Dikesempatan ini, saya sekeluarga ingin mengucapkan selamat menjalani ibadat berpuasa..



Di bulan yang mulia ini, marilah kita beramai-ramai mencari seberapa banyak pahala ..

Mudah-mudahan Allah swt permudahkan  untuk kita membuat amal ibadat ini...Insya Allah..

Khamis, Julai 19, 2012

Jalan-jalan di Bazar Karat....

Sudah acap kali saya mendengar cerita mengenai Bazar Karat..Berbelas tahun duduk di bandaraya Johor Bahru ini pun saya tidak pernah menjejaki kaki di bazar tersebut..

Tapi tetiba keinginan untuk mengunjungi bazar Karat ini kian terasa tika terbaca di akhbar mengenai keistimewaan bazar ini..Sementelah lagi pabila mendengar  cerita kawan-kawan di  muka buku dan cerita anak-anak saya sendiri yang pernah pergi ke bazar tersebut ...

Kesempatan untuk ke bazar tersebut  tidak ditolak apabila suami saya tetiba mengajak kami sekeluarga pergi ke bazar tersebut..

Sememangnya, bazar tersebut luas dan sangat memenatkan ...

Dan tempat yang saya cari dan wajib saya cari mestilah  yang berkarat jugak...


Memang puas hati dapat singgah di tempat ini..banyak barang-barang antik yang boleh kita lihat..Namun malangnya, saya tidak mampu untuk memilikinya kerana harganya tersangatlah mahal...

Boleh cuci mata sahaja..

Kios-kios lain macam biasa sahaja yang kita lihat di "up-town" di  negeri-negeri lain...


Rabu, Julai 18, 2012

Alhamdulillah...sudah semakin pulih..

Minggu lepas sewaktu pulang ke kampung, saya berkesempatan melihat luka di kaki emak saya..
Kesan ini akibat penyakit kencing manis yang dihidapi oleh emak saya. 
Alhamdulillah, sudah semakin mengecil dan semakin baik..


Tahun lepas, luka ini sangat besar sehingga sukar untuk berjalan. Luka akibat penyakit ini memang sukar untuk sembuh dalam masa yang singkat kecuali  jika kita  kuat berpantang makanan yang berlemak dan manis..

Alhamdulillah, luka ini sudah semakin mengecil dan emak saya sudah boleh  berjalan dan melakukan aktiviti yang disukainya iaitu yasinan...

Tapi, emak saya masih dikehendaki berpantang dan memakan ubat yang dibekalkan oleh klinik kerajaan. 

Sebagai anak, saya sentiasa mendoakan kesihatan emak saya semakin baik...

Selasa, Julai 17, 2012

Baru Tahu Telur Penyu Bahaya....

Berebut-rebut kawan-kawan saya mahu membeli telur penyu ketika membeli belah di Pasar Payang, Kuala Terengganu, Terengganu...

Saya kurang berminat untuk membeli telur ini sebab saya rasa geli untuk memakannya...

Telur ini hanya boleh direbus sahaja... tidak boleh digoreng.. ini kerana telur ini tidak akan keras..tetap macam jelly sahaja...

Turtle eggs for sale
Gambar pinjam kat Google..

Semasa saya menghadiri taklimat di pusat santuary penyu di Rantau Abang, Terengganu, saya diberitahu  bahawa telur penyu yang dijual di Terengganu bukan berasal dari penyu yang bertelur di negara ini. Dahulu, penjual mendapat bekalan dari negeri Sabah..Namun selepas Kerajaan Malaysia mengharamkan penjualan telur penyu ini, peraih mendapatkan belakan dari negara lain seperti Indonesia..

Dah memang sahlah bahawa telur penyu ini dari negara lain!...

Dan satu lagu, maklumat yang kami terima semasa taklimat tersebut...bahawa telur penyu ini sangat bahaya untuk kesihatan...Menurut kajian yang dilakukan bahawa  kandungan dalam telur penyu ini boleh menyebabkan penyakit BARAH....

Kami semua terkejut....bagi yang dah terbeli, berbelah bagi untuk memakannya...

Apa-apa pun, melalui lawatan ini, saya mendapat info dan pengalaman yang sungguh bernilai dalam hidup saya..




Isnin, Julai 16, 2012

Seronoknya Dapat Pegang Anak Penyu..

Teruja... tidak dapat digambarkan kegembiraan di hati...

Seronok tika pertama kali dapat memegang seekor anak penyu tanpa rasa geli dan takut...
Memang tidak dapat digambarkan...


Pengalaman ini, saya rasai semasa melawat  pusat perlindungan dan pemeliharaan penyu di Rantau Abang, Terengganu minggu lepas...

Ramai kawan-kawan saya dan para pelajar memegang anak-anak penyu ini walaupun pada mulanya merasa geli ...tapi akhirnya , mereka tersenyum gembira...

Kami juga berpeluang melepaskan anak-anak penyu ini ke laut...


Rasa sedih pula ketika melepaskan penyu ini ke laut...sedih sebab dalam beratus-ratus penyu yang dilepaskan, hanya seekor dua sahaja yang boleh membesar dan hidup...yang lain menjadi makanan haiwan pemangsa lain..


Bila semua anak-anak penyu ini sudah masuk ke laut, kami semua bertepuk tangan tanda kepuasan....

Puas dapat melihat dan merasai sendiri pengalaman yang semamngnya sukar untuk dinikmati oleh orang lain...

Kredit pada tuan pun gambar : Cikgu Suhana..


Isnin, Julai 09, 2012

Untung Ada Jiran...

Hari minggu lepas, saya pulang ke kampung untuk menghadiri kenduri tahlil perempuan pada waktu petang..Sudah lama emak saya tidak membuat apa-apa kenduri kerana masalah kesihatan diri yang tidak mengizinkan..

Alhamdulillah, majlis tahlil berjalan lancar dengan cuaca yang terang tanpa hujan..walhal sejak dua menjak ini, cuaca tidak dapat diramal...sentiasa hujan tidak mengira  masa..

Sebenarnya, saya begitu suka dengan cara jiran-jiran rumah emak saya.. almaklumlah duduk di kawasan felda..budaya bekerjasama dan tolong menolong antara jiran atau penduduk kampung masih kuat dan utuh lagi.. tidak seperti kita yang duduk di bandar ini...

Pepagi lagi, jiran-jiran emak saya sudah datang membawa pisau untuk membantu memasak apa yang ada...orang Johor panggil "rewang"...

Seronoknya ketika bab kuih muih ...macam gambar di bawah ini....


Banyaknya......

Semua kuih muih ni, diberi oleh jiran tetangga...emak saya langsung tidak membuatnya..

Selepas kuih ini disusun, masih terdapat beberapa kuih lagi yang dihantar oleh jiran ..untuk kuih karipap sahaja terdapat empat jenis karipap dari jiran yang berlainan....sampai saya sendiri tidak tahu nak letak di mana...

Walaupun kuih ini banyak namun semua kuih-muih ini licin di pinggan sebab setiap tetamu akan dibekalkan dengan  plastik kosong untuk diisi dengan kuih muih untuk dibawa pulang... tidak membazir kan?

Tapi...

Amalan ini tiada lagi di bandar-bandar...

Sedihkan?..


Selasa, Julai 03, 2012

Mengalahkan Cikgu....

Bila memperkatakan tentang beg sekolah...semua ibu bapa atau sesiapa sahaja yang bergelar pelajar akan terbayangkan beg sekolah yang biasa kita gunakan dahulu...

Terbayang juga beg-beg sekolah yang bergantungan di kedai-kedai  yang menjual barang keperluan tersebut.

Berbagai jenama yang ada mengikut kemampuan  ibu bapa para pelajar untuk membelinya.

Sekarang, saya dapati terdapat budaya baru di sekolah saya yang semakin menular dengan penggunaan beg berfesyen..Sebenarnya pemakaian beg sebegini tidak dibenarkan dan telah tercatat di buku peraturan pelajar.

Namun mungkin  pelajar ini mahu mengalahkan cikgu...agaknya...

Lihatlah...

Cantik tak?
Simple tapi tetap vouge
Sesuai ke dengan pelajar?
Muat ke dengan buku-buku pelajar ni?

Gambar ini saya ambil dengan hand phone aje..ini semasa  semua pelajar tidak dibenarkan berada di dalam kelas dan mungkin pelajar ini tinggalkan di dalam kelas supaya para cikgu tidak nampak.. 

Biasalah pelajar tingkatan 5... dah besarkan...

Rasanya minggu ini, kami kena kumpulkan para pelajar yang menggunakan beg sebegini untuk diberi amaran...

Tak sesuailah....kamu semua baru belajar lagi....

Isnin, Julai 02, 2012

Bila Mahu Cepat

Selalunya pepagi, saya tidak sempat menyiapkan sarapan untuk anak-anak ke sekolah. Al maklumlah anak ramai..Segala segi, kita yang kena lengkapkan terutamanya urusan anak-anak yang kecil..

Tapi kekadang, saya buat jugalah sarapan untuk anak-anak saya..walaupun memang sudah tahu, sarapan ready made ni kurang berkhasiat namun sesekali boleh jugalah disediakan daripada tiada...

Dalam kelam kabut macam lipas kudung menyediakan apa yang patut...sehingga tidak cukup kaki tangan dan membuat kerja semua dalam satu masa...

Jadi, inilah hasilnya...


Akibat kecuaian sendiri...


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...