Memaparkan catatan dengan label catatan tentang sekolah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label catatan tentang sekolah. Papar semua catatan

Isnin, Februari 04, 2013

Tumpang simpati

Terkejut tika saya membuka 'fb' saya semalam...

Terkejut dengan gambar kemalangan yang menimpa salah seorang guru sekolah saya..

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga...begitu jugalah dengan nasib cikgu ini..


Beginilah keadaan kereta cikgu Che Rafidah Mohd Joni..

Kebetulan pula cikgu ni sedang bercuti kerana keretakan  yang menimpa kakinya...

Saat kejadian pula, cikgu ini sedang memandu bersendirian... masa  kejadian hujan lebat...


berlaku di laluan ini..


Jatuh dalam jurang yang dalam juga...


Kereta meluru terbabas ke bawah..


akibat melanggar penghadang besi ini..


Syukur alhamdulillah....cikgu tersebut selamat ..

Semoga che cepat sembuh yea...



Sabtu, April 07, 2012

Floor Manager???

Selama ini, saya tidak pernah terfikir untuk menjadi "manager"..Dahulu sebelum saya menjadi seorang guru, saya pernah memegang jawatan kerani, kerani gred A, pembantu personalia, last sekali memegang jawatan sebagai payroll officer ( pegawai kira gaji )  Tapi saya tak pernah memegang jawatan manager..

Tidak terfikir juga bila mana menjadi  seorang guru, saya akan dilantik menjadi manager ..

Tiba-tiba selasa lalu, saya dipanggil oleh puan pengetua dan dilantik sebagai "floor manager" dengan rasminya..Saya terkejut dan tertanya-tanya...Flow manager??macammana kerjanya?? kenapa  saya??  mampukah saya??

Semua ini gara-gara Majlis Anugerah Cemerlang ..

Memang berat tanggung jawab ini..Mesti mengetahui segala perjalanan majlis ini  bermula dari  raptai pertama hinggalah hari "kejadian"...

Untuk mendapatkan kerjasama semua guru adalah satu perkara yang amat sukar. Bukan semua guru dapat memberikan kerjasama. dan bukan semua guru berfikiran sama..Lebih-lebih lagi dengan permintaan pihak pentadbiran yang inginkan semuanya  sempurna..

Begitu banyak pengorbanan yang perlu dilakukan oleh semua guru..

Hari ini,alhamdulillah kerana  puan pengetua mengucapkan tahniah dan terima kasih kerana majlis berjalan lancar walaupun terdapat sedikit kelemahan yang tidak disedari.

Walaubagaimana pun, tidak semua majlis yang sempurna tidak  mendapat kritikan.. terdapat juga guru yang tidak berpuas hati dengan kerjasama guru-guru lain..

Namun, saya berpuas hati...walaupun jawatan saya setakat hari ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru-guru SMK Taman Daya 2, Johor Bahru, Johor kerana memberikan kerjasama yang sepenuhnya untuk memeriahkan lagi majlis ini....

Selasa, Januari 24, 2012

Blog dan Laman Web Rasmi...Apa Beza???

Masuk tahun 2012 ini rasanya sudah genap setahun saya berblog di alam maya ini..Rasanya saya sudah menguasai separuh ilmu membuat blog ini..

Bukan nak megah atau meninggi diri..Namun membuat blog adalah sangat mudah  dan hanya menggunakan hujung jari sahaja...Jika kita tidak pandai pun, kita boleh mencari jalan penyelesaiannya di blog-blog lain yang menyediakan cara-cara membuat blog..





Namun sejak bulan ini, saya diarahkan melengkapkan laman rasmi sekolah saya.. Saya dapati banyak kesukarannya untuk saya menulis atau memasukkan gambar...

Semua kaedah sangat berbeza dengan kaedah blog..

Saya pening...

Buntu...

Di mana saya boleh mendapatkan cara-cara mengurus laman web  ini???

Memang saya sangat runsing...laman ini akan dilancarkan pada bulan Mac kelak...Saya kena bertindak sekarang..

Tapi saya tidak tahu bagaimana...

Ada tak kawan-kawan yang sudi membantu??

Atau cadangkan apa-apa buku??


Khamis, Januari 19, 2012

Hebat Tahun Baru Cina Tahun Ini..

Sudah beberapa hari saya melihat kelas-kelas di sekolah saya dihias indah sempena Tahun Baru Cina.  Bersemangat sungguh pelajar-pelajar Cina sekolah ini menyertai pertandingan menghias kelas tersebut. Selama ini mereka agak pasif sedikit untuk melibatkan diri dalam apa-apa pertandingan yang dianjurkan oleh pihak sekolah.



Mungkin kerana ini adalah perayaan utama mereka. Jadi, mereka bersemangat untuk menjayakanya..

Hinggakan semasa saya mengajar pun mereka meminta kebenaran untuk menghias kelas mereka..mula-mula saya tidak membenarkannya namun mereka tetap merayu kerana hari ini merupakan hari penilaian pertandingan  , saya pun membenarkan juga..tapi sekejap sahajalah..

Tiba-tiba saya terasa macam berada di sekolah jenis kebangsaan cina pula...


SELAMAT TAHUN BARU CINA..

Isnin, Januari 16, 2012

Pindah Tempat Baru..penat!

Sabtu lepas, semua guru dikehendaki hadir ke sekolah untuk bergotong royong mengemaskan bilik guru..Disamping itu juga, Kelab KEBIRUs telah mengadakan majlis kecil atau pot luck untuk meraikan  guru yang bakal berpindah dan cikgu yang baru berkahwin. 

Sebelum itu, kami semua mengemas bilik guru bersama-sama. Banyak barang yang perlu di buang..agak sayang juga lebih-lebih lagi hadiah-hadiah pemberian para pelajar. Tapi terpaksa membuangnya sebab dah terlampau lama..

Dikesempatan ini, saya mengambil keputusan berpindah tempat duduk. sudah lebih 10 tahun duduk di tempat yang sama, jadi hari sabtu lepas mencipta sejarah baru apabila saya mengambil keputusan berpindah tempat duduk yang baru pula..

Bila berpindah ke tempat baru, macam ginilah bersepahnya...banyak barang perlu disusun semula...
Ini sudah kali ke dua mengemas tempat ini..semakin dikemas semakin banyak kertas dan buku yang dibuang..tak habis-habis..  Sebenarnya, kalau boleh semuanya berharga dan sayang hendak dibuang namun untuk mengelakkan banyak kota di bawah meja, terpaksa pejamkan mata dan buang sahaja..

Untung pekerja sekolah sebab dapat duit tambahan dengan menjual kertas-kertas tersebut..sehinggakan mereka terlampau penat untuk mengangkat buku dan kertas lama itu.. ada yang sakit pinggang lagi..

Ini hanya sebahagian barangan dari tempat saya..

Untuk hari tersebut sahaja, kami telah temui tempat menternak tikus.. terdapat guru yang nampak keluarga tikus ini tapi cikgu lelaki tidak dapat menangkapnya..kira tikus tersebut masih ada dalam bilik guru dan masih bebas...

Apa-apa pun, gotong royong hari sabtu lepas sungguh memenatkan dan kerja mengemas di meja saya masih lagi belum selesai..

Jadi hari ahad semalam adalah hari merehatkan tubuh...


Sabtu, Disember 17, 2011

SELAMAT PENGANTIN BARU CIKGU...

Bila tiba hujung tahun sahaja, saya dan cikgu Mahani sudah mula berkira-kira hendak membeli hadiah sempena perkahwinan cikgu-cikgu muda di sekolah ini.

Hujung tahun ini sahaja, seramai 4 orang cikgu di sekolah saya akan mendirikan rumah tangga. Tahniah kepada mereka.

Cikgu Siti Faridah dan cikgu Nurul Afifah telah diakad nikahkan pada 26hb Nov yang lalu . Mungkin cikgu-cikgu ini mengambil berkat sempena 1 Muharam iaitu tahun baru Islam. Malangnya, saya tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana majlis tersebut diadakan di Kelantan dan Segamat. Kebetulan pula kami guru-guru baru bercuti setelah seminggu dikehendaki hadir ke sekolah.

Tahniah juga kepada pasangan cikgu Norhafizah dan cikgu Pairul Irwan kerana kedua-dua cikgu ini merupakan cikgu sekolah ini. Pasangan ini adalah guru sesi petang.

Kebetulan pula, saya berada di Melaka..Jadi saya mengajak suami saya menghadiri perkhawinan ini di Jasin, Melaka..

Hari ini pula, majlis berlangsung di Perlis pula ( belah lelaki )..Maaflah cikgu Pairul, saya tak dapat pergi ke Perlis kerana anak saya akan menghadapi ujian diagnostik murid tahun 1 hari ini...

Buat mereka, saya sentiasa doakan agar pasangan pengantin baru ini dapat mengharungi kehidupan berumahtangga yang penuh mencabar dan bersabar dengan segala cobaan yang mendatang.

Selamat Pengantin Baru..

Selasa, November 15, 2011

Pelajar bawa laptop ke sekolah...memang hebat...

Minggu ini minggu terakhir persekolahan bagi mereka yang bergelar pelajar..namun bagi calon SPM pula, minggu ini baru bermula peperiksaan yang akan menntukan masa depan mereka itu...

Bagi yang tidak menduduki peperiksaan pula, minggu ini umpama minggu yang menyeronokkan...kenapa?

Sebab minggu ini mereka tidak akan belajar, tidak akan membuat latihan, tidak akan mengulangkaji pelajaran dan macam-macam lagi.. Pada masa ini juga, ramai pelajar akan mengambil kesempatan untuk ponteng sekolah... ada yang bekerja lagi....Malah ibu bapa juga ada yang tidak ambil peduli lagi sama ada anak-anak mereka hadir ke sekolah ataupun tidak...

Bagi pelajar-pelajar yang hadir ke sekolah pula, saya ucapkan syabas!!!!

Sebenarnya, ada beberapa program yang telah diatur oleh guru-guru dalam memenuhi jadual minggu ini...umpamanya pada masa inilah, guru-guru akan melengkapkan PAFA, ujian lisan, pertandingan bercerita, kuiz dan sebagainya...

Paling hebatnya, ramai pelajar juga yang mengambil kesempatan untuk membawa laptop mereka sendiri ke sekolah...

Wah....lihatlah pelajar sekarang...dulu masa saya, "handphone" pun belum tercipta lagi...laptop, jauh sekali... Masa saya belajar kat U dulu pun saya tak punya handphone...komputer pun guna komputer di makmal komputer U...

Sebenarnya, kami warga guru tidaklah menggalakkan para pelajar membawa laptop ke sekolah.. ini disebabkan pihak sekolah tidak akan bertanggungjawab jika laptop mereka hilang atau dirosakkan oleh pelajar lain..Jika pelajar membawa laptop juga ke sekolah, ini merupakan tanggungjawab mereka sendiri... sementara guru juga dikehendaki memantau penggunaan laptop tersebut agar tidak disalahgunakan.. Pelajar juga dilarang membuka aplikasi facebook atau laman-laman web yang berbaur lucah...

Tapi pada saya, lebih baiklah para pelajar ini tidak membawa laptop ke sekolah... ini akan membebankan pula guru-guru yang masuk ke kelas mereka kerana terpaksa memantau penggunaan laptop mereka itu....

Selasa, Oktober 11, 2011

Akhirnya, bebas daripada belenggu peperiksaan.

Hari ini merupakan hari terakhir peperiksaan PMR...

Bagi pelajar yang selesai semalam, mungkin sudah meraikan kegembiraan mereka..bagi pelajar yang mengambil bahasa Arab, bahasa Cina dan bahasa Tamil, hari ini baru boleh meraikannya..Esok mereka dan mula bersekolah seperti biasa namun mereka tidaklah belajar..

Dan guru-guru mula sibuk menyediakan pelbagai aktiviti untuk mereka ...

Teringat semasa saya menunggu keputusan SRP keluar dahulu...cikgu-cikgu di sekolah saya rancak mengadakan program yang sememangnya menyeronokkan saya untuk menghadirkan diri ke sekolah...

Namun sekarang berlainan, banyak aktiviti yang tidak dapat dijalankan kerana kurang sambutan daripada pelajar. Asyik-asyik pelajar yang sama sahaja ...Kebanyakan pelajar suka duduk di rumah (ponteng sekolahlah...)... dan rasanya ramai yang akan mencari wang saku ( cari kerja ) untuk merasa memegang hasil titik peluh sendiri...

Kadang-kadang saya sentiasa berfikir...aktiviti apa yang boleh menarik minat mereka untuk hadir ke sekolah????

Selasa, Oktober 04, 2011

Berdebar-debar ....... PMR

Seawal pagi pelajar-pelajar sekolah saya sudah duduk bersila dan beratur di foyer sekolah saya. Pagi ini merupakan hari pertama mereka akan menghadap Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Ditambah lagi dengan cuaca yang sejuk dan lembap lanjutan daripada hujan yang dibawa oleh angin Sumatera yang bertiup atau angin peralihan monsun ini. Sejak subuh hinggalah tengah hari, hujan tidak juga reda-reda.. semakin gementarlah perasaan pelajar-pelajar ini...

Guru? Para guru lagilah gementar.. Dengar cerita seorang cikgu Bahasa Melayu sekolah saya tidak lena tidur malam tadi dek memikirkan peperiksaan Bahasa Melayu pagi ini.. Sebenarnya bukan cikgu tersebut sahaja yang berdebar-debar tetapi perasaan cikgu lain juga sama...

Semalam telah diadakan majlis Mohon Restu. Di majlis tersebut semua pelajar berbaris untuk memohon restu daripada guru-guru untuk mendapatkan keberkatan....Pelajar perempuan ada yang menanggis dan memeluk saya..rasa sedih juga dan hampir menitiskan air mata pula...sampai ada yang menegur saya, "cikgu, janganlah menanggis.."

Bagi pelajar pula, walaupun masa menunggu masuk ke dewan peperiksaan amatlah singkat, namun masih ada lagi pelajar yang tidak mahu membuang masa dengan berbual. Masing-masing memegang nota untuk dibaca atau dihafal..

Teringat semasa saya menghadapi peperiksaan di universiti dulu, saya juga berdebar-debar...takut sangat kalau tidak lulus...jadi sepanjang perjalanan ke dewan peperiksaan, saya akan membaca nota-nota kecil dan tidak akan bercakap dengan sesiapa pun.. saya takut jika ilmu atau maklumat yang telah ada di dalam otak saya ini akan terkeluar apabila saya mencampur adukkan dengan perbualan yang tidak menguntungkan...saya juga tidak suka berbincang sebelum peperikasaan mahupun selepas peperiksaan... Semua menakutkan...

Berbalik kepada peperiksaan ini, saya sebagai pendidik akan sentiasa mendoakan kejayaan pelajar-pelajar saya. Sememangnya saya ingin melihat mereka memperoleh kejayaan dengan mendapat semua A dalam semua mata pelajaran.

Saya sendiri tak sabar dengan reaksi mereka apabila mereka mendapat kejayaan yang todak diduga...

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN....

Jumaat, Ogos 26, 2011

AL-FATIHAH

Baru sahaja disebut-sebut nama. Bukan saya seorang sahaja.. Malah dijadikan pula tajuk perbincangan tentang seorang pelajar ini. Bukan kerana masalah disiplin yang serius tapi masalah ketidakhadiran ke sekolah yang masih tidak selesai-selesai lagi.

Baru sahaja bercerita mengenai namanya... yang datang ke sekolah untuk memaklumkan bahawa dia dia tidak mahu lagi meneruskan pembelajaran. Tentang dia yang mahu bekerja . Bukan kerana kemiskinan tapi sebab pengaruh kawan-kawan... mungkin juga kerana ingin memiliki wang....

Baru sahaja bercerita tentang namanya... kawan-kawan menyuruh ustazah menyedekahkan al-fatihah kepada dia... meninggal dunia kah dia?....atau kawan-kawan hanya bergurau sahaja....Rupa-rupanya, baru diberitahu dia terlibat dalam kemalangan jalan raya dan berada di ICU..serta merta derma kilat dilancarkan..

Baru sahaja bercerita tentang namanya... terdengar berita tentang pemergiannya menemui Tuhan yang maha esa pada petang semalam, semasa ramai guru dan pelajar berada di surau sekolah bersempena majlis khatam al-quran dan majlis berbuka puasa......Sesungguhnya Allah lebih menyayangi dia....

Baru sahaja bercerita tentang namanya...MOHD SAUFI BIN RAHMAT... telah selamat dikebumikan pada pukul 2 pagi tadi...

Al-fatihah buat arwah.. seorang pelajar tingkatan 5 sekolah saya yang telah meninggal dunia akibat kemalangan. Walaupun saya tidak begitu rapat dengan pelajar ini namun kami warga guru memang amat mengenali dia...mungkin disebabkan masalah-masalah disiplin terpencil yang telah dia lakukan....

Al-Fatihah juga , saya berikan kepada ibu cikgu Masrobi yang baru kehilangan ibu tersayang pada hari Isnin yang lalu...

Semoga ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.....

Ahad, Jun 12, 2011

SELAMAT KEMBALI..

Cuti sekolah sudah pun berada di penghujungnya..

Kita masih lagi terpandang-pandang akan lambaian-lambaian terakhir orang-orang yang disayangi pabila kita berpaling untuk melambai semula... Aduh! sayunya....

Esok, kita semua terutama warga pendidik sudah mula memulakan tugas masing-masing. Begitu jua dengan para pelajar, sudah bersediakah mereka untuk belajar?

Namun, bagi negari-negeri sebelah utara dan pantai timur, mereka semua sudah bekerja dan belajar pada hari ini.

Bagi pelajar-pelajar tingkatan 3 yang akan menghadapi peperiksaan PMR, sudah semestinya naik cuti ini adalah minggu yang agak sibuk. Ini kerana masa inilah segala kerja kursus yang diwajibkan dikehendaki hantar kepada guru-guru mereka.

Bagi saya pula, naik cuti ni bermulalah kerja-kerja menanda kerja kursus Geografi PMR. Tahun ini saya mengajar empat kelas peperiksaan, jadi saya akan menanda kerja kursus pelajar lebih daripada 100 buku skrap.. Mudah-mudahan Allah permudahkan kerja saya..

Minggu depan juga akan bermulanya latihan rumah sukan. Anehkan?

Tahun ini, sukan tahunan bagi sekolah saya akan bermula bulan Jun. tidak seperti tahun-tahun lepas dimana sukan tahunan sudah diadakan pada bulan Mac. Macam manalah keadaannya sukan di pertengahan tahun ini yea??...

Apa yang pasti, saya berharap semua cikgu dapat bertugas dengan penuh didikasi dan lebih berintergriti dalam menaikkan prestasi sekolah dan seterusnya dapat melahirkan lebih ramai pelajar yang bijaksana.

Jumaat, Mei 27, 2011

SELAMAT BERCUTI...

Musim cuti sekolah sudah bermula. Paling suka ialah orang yag bergelar pelajar...dan yang paling risau sekali adalah ibu bapa...

Manakan tidak, bila anak-anak mereka bersekolah, tanggungjawab mereka sudah berkurangan dan tanggungjawab tersebut diambil alih pula oleh para guru...

Guru ni ibarat ibu bapa kedua bagi para pelajar. Diwaktu pagi anak-anak mereka akan bersekolah menengah dan waktu petang pula bersekolah agama..Jadi ibu bapa tidak lah risau dengan aktiviti seharian anak-anak mereka

Mulai esok, ibu bapa terpaksa mengambil semula tanggungjawab mereka sepenuhnya...dan giliran guru-guru pula untuk bercuti selama dua minggu...

Namun bagi sekolah saya, cuti hanya bermula pada hari Khamis hadapan..Ini kerana di sekolah saya ada mengadakan kelas tambahan untuk pelajar-pelajar PMR dan SPM. Jadi semua guru dikehendaki stay di sekolah bersama-sama guru-guru yang terlibat dengan kelas tambahan tersebut...adil bukan?

*****************************

Cuti sekolah ini, terdapat dua orang cikgu yang akan berkahwin iaitu cikgu Hasliza Harun yang akan berkahwin di Kedah dan cikgu Norazaliah yang akan melangsungkan perkahwinannya di Melaka..

Buat guru-guru ini, SELAMAT PENGANTIN BARU.....

Untuk Ustaz Talhah dan Cikgu Siti Najibah serta anak-anak, saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan selamat berangkat ke Mekah untuk mengerjakan umrah..Sudah banyak kali tertunda akhirnya esok tengah hari dapatlah beliau sekeluarga bertolak untuk mengerjakan umrah...

Untuk beliau juga, selamat kembali...

**************************************

Dimusim cuti sekolah ini, makin ramailah orang yang suka balik ke kampung untuk menjenguk atuk dan nenek...

Selamat pulang ke kampung!!!

Selasa, Mei 24, 2011

ANALISA ITEM...

Baru habis peperiksaan pertengahan tahun..

Masa untuk cikgu-cikgu menanda kertas soalan para pelajar..untuk peperiksaan kali ini, cikgu-cikgu diminta untuk membuat analisa item..

ANALISA ITEM??

Kalau nak cari definisinya memanglah terlalu sukar untuk ditafsirkan...tapi dalam bahasa mudahnya analisa item ini lebih kurang macam post mortem jugaklah..cuma ini style sekolah sahaja...Sebelum kertas jawapan dipulangkan kepada pelajar, cikgu perlu membuat analisa item..

Cikgu dikehendaki mengira berapa pelajar yang dapat menjawab soalan dengan betul bagi setiap soalan yang terdapat dalam kertas peperiksaan...Macam kertas Geografi ada 60 soalan, maka saya akan mengira berapa ramai pelajar yang menjawab soalan dengan betul dari soalan 1 hinggalah soalan 60..

Cerewetkan??

Memang cerewet jugaklah..kalau cikgu tu mengajar banyak kelas lagilah susah...

Sebenarnya tujuan membuat analisa item ini adalah untuk mengetahui tajuk atau soalan mana yang pelajar tidak boleh menguasai..dari sini juga, cikgu akan menekankan tajuk tersebut dalam pelajaran akan datang...

Setelah membuat analisa item ini, barulah cikgu-cikgu dibenarkan memulangkan kertas jawapan kepada para pelajar...

Dan cikgu-cikgu pun mulalah memasukkan markah terus ke dalam komputer sekolah...

********************************

Maaflah kawan-kawan..

Saya agak sibuk sejak kebelakangan ini...jika terlalu sibuk sampai tiada idea yang boleh saya sumbangkan untuk blog saya ini...

Akan tetapi, saya masih lagi boleh berjalan-jalan ke blog kawan-kawan dengan tujuan untuk menambah pengetahuan dan mendapatkan maklumat terkini...

Sekarang ni pun tengah sibuk menanda kertas Bahasa Melayu 2 yang tak habis-habis dibaca...

Harap maklum

Sabtu, Mei 21, 2011

INTEGRITI, InTeGrItI dan integriti...

Isu hangat! Panas!!!!

Integriti, integriti , integriti, integriti.......

Itulah yang diluahkan oleh puan pengetua dalam mesyuarat guru pagi tadi...

Apa maksud integriti yang sentiasa diwar-warkan tu?

Walaupun saya boleh dikategorikan sebagai guru "lama" atau "senior", namun saya sebenarnya masih lagi belajar dan terus belajar

Semua orang boleh berkata tentang integriti.....tapi adakah mereka tahu maksud sebenarnya???

Integriti sebenarnya berasal dari istilah bahasa Inggeris yang membawa erti keutuhan dari semua segi yang baik. Dalam bahasa Melayu, ia biasanya menjurus kearah perwatakan seseorang.

Maksud integriti mengikut Kamus Dwibahasa DBP, 1985, ialah kejujuran dan ketulusan; kesempurnaan; keutuhan.

Rumusannya, integriti adalah sifat jati diri yang merangkumi juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai, boleh pegang cakapnya, dan lain-lain.

Masih tidak faham lagi??

Oklah, saya mudahkan lagi...ini pandangan saya sahaja yea...

Pada saya integriti amatlah penting dalam diri seseorang itu, tidak kiralah sama ada kita ni orang atasan atau orang bawahan sahaja. Jika kita berkerja perlulah melakukan kerja tersebut dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan...saling bantu membantu...

Contohnya, pada hari ini, sekolah saya mengadakan hari gotong royong perdana.. Jadi semua orang ( guru dan pelajar ) bertanggung jawab bersama-sama menjalankan gotong royong dengan berkesan..tidak kiralah mereka orang atasan atau orang bawahan..

Kita sebagai guru pula, mesti mempunyai semangat kepimpinan yang berintegirti...

**********************************************

Saya suka dengan pendapat seorang intelek ini iaitu Dr Mohamed Sani Bin Ibrahim dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Dalam Kajian kesnya mengenai isu ini telah menyatakan bahawa.....

Pempimpin seharusnya memahami bahawa semua pekerja adalah berbeza dan mempunyai bakat dan kemahiran semula jadi. Malah, yang penting mempunyai harga diri. Pemimpin yang dapat mendekati pekerja mereka secara terhormat dan memahami wujudnya keperluan yang berbeza akan disanjung dan dihormati serta disayangi.

Setiap manusia mempunyai martabat dan harga diri. Apabila pemimpin dapat memenangi hati dan perasaan pekerja, segala arahan yang dikeluarkan dilihat sebagai dorongan dan rangsangan.

kekuatan ini mampu menterjemahkan visi dan misi dalam bentuk tindakan dan komitmen kerja serta membantu merealisasikan wawasan.

Sebenarnya, pertimbangan kemanusiaan adalah kelebihan kepimpinan berintegriti dengan yang lain iaitu melihat kepimpinan sebagai suatu seni, kepercayaan dan rela hati dalam amalan dan tindak-tanduk harian..

Cuba hayati kenyataan tersebut.....

Jumaat, Mei 20, 2011

PELAJAR LEMBAM?????

Sejak saya memasuki dunia pendidikan, acapkali saya telah diarahkan mengajar kelas-kelas yang terakhir..kelas pelajar lembam....

Pelajar lembam???

Pelajar lembam ialah pelajar yang lambat berfikir, kurang cerdik, lemah dalam pelajaran dan sebagainya.. Dalam bahasa inggerisnya ialah "slow learner"..

Mengajar pelajar-pelajar sebegini memerlukan kekuatan sebab selalunya pelajar ini juga hiperaktif. Kadang-kadang timbul rasa kasihan dihati saya..bukan kerana mereka pelajar melayu tetapi kemana arah tujuan hidup mereka selepas ini??

Tahun ini, sekali lagi saya berpeluang mengajar kelas yang ke 10. Sejak saya mula mendapat tahu mengenai kelas ini, saya sudah cukup risau ...risau mengenai kemampuan saya ....Lebih-lebih lagi saya mengajar tingkatan 3 yang akan menghadapi peperiksaan PMR..

Sampai ke hari ini, saya masih lagi tercari-cari method atau kaedah-kaedah yang bersesuai untuk mengajar pelajar sebegini...dan otak saya seperti sudah habis berfikir untuk mencari kaedah-kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian...saya buntu!!!

Ini baru luahan saya, seorang guru Geografi...bagaimana pula kalau kita mendengar keluahan guru-guru Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris dan mata pelajaran yang lain???

Mesti mereka juga susah hati macam saya

Mengajar pelajar sebegini memanglah sukar...terlalu sukar bagi guru-guru yang tidak mempunyai kemahiran seperti guru Pendidikan Khas.. disuruh menulis, terlalu lambat, disuruh mewarna pun lambat, disuruh membaca lagilah lambat...

Selalunya kelas akhir ini, saya akanmemberikan latihan-latihan yang mudah sahaja..seperti latihan pelajar tingkatan 1 atau sekolah rendah. latihan padanan, latihan berpandukan buku teks dan sebagainya...namun walaupun telah dipandu oleh saya, mereka masih jugak tidak boleh menjawab...bahkan kita sudah menunjukkan mukasurat dalam buku tersebut, juga masih tidak dapat mengenalpasti jawapannya...

Macam mana saya nak luluskan mereka??Bagaimana caranya saya boleh memenuhi amanah ibu bapa mereka yang mahukan mereka berjaya??? Saya cuba dan berusaha namun usaha saya seperti menuang air ke daun keladi....saya masih lagi tidak nampak peningkatan dan apa-apa perubahan....adakah saya sudah berputus asa???

Ya Allah, bantulah hambamu ini agar tidak terus lemah dan cepat berputus asa dalam mendidik pelajar-pelajar lembam ini...Berikan lah daku kekuatan untuk terus berbakti kepada mereka...

Rabu, Mei 18, 2011

Tak Pernah Tunjuk Bakat...

Tak sangka berbakat juga saya yea...

Bakat menyanyi???

Taklah....

Bakat menari?..

Taklah....dah tak layak nak menyanyi dan menarilah...

Memasak ke???

bukan jugak!!!

Habis tu, apa yang berbakat????

Ini, saya nak cerita sedikitlah...

Hari isnin lepas, ada pertandingan mengubah buah tembikai antara rumah pasukan....mula-mula tu, saya dipilih untuk menyertai pertandingan ini, tapi pagi tu, saya dimaklumkan oleh ketua rumah bahawa saya telah ditukarkan ke pertandingan yang lain...iaitu pertandingan spongebox...

Tapi saya meninjau-ninjaulah ke tempat pertandingan tersebut...saja nak tengok-tengok ...

Kesihan pulak saya pada kumpulan saya tu, terkial-kial untuk memotong buah tembikai tu, so saya pun dengan rela hati membantu pasukan rumah saya tu...Bukan nak tunjuk hebat...atau bangga ....Tapi.....tengoklah gambar di bawah....

Saya pun tak tau masa yang diperuntukkan...sebab saya main terjah aje...potong...potong...dah jadi bakul....

Sampai terduduk-duduk saya dibuatnya semata-mata nak menyiapkan gubahan tersebut...Cikgu berdua yang sebelah-sebelah saya tu dapat hadiah pakaian tercantik...saya hanya dapat pakai baju cantik sahaja...TER nya dah hilang....

Akhirnya siaplah hasil potongan atau gubahan buah tembikai saya bersama kawan-kawan saya....Kumpulan pertama yang siap.....hasilnya dapat tempat ke 3 sahaja...tempat pertama tentulah kumpulan Pengetua... , tempat kedua PK HEM.....

Lepas buat, terus tinggalkan gubahan tersebut sebab nama saya dipanggil untuk permainan spongebox pula....orang dulu panggil masukkan air dalam botol.....

Selendang terpaksa diikat dan berkaki ayam.....mudah nak lari laju-laju....masa nilah boleh tengok gaya guru disiplin lari berkaki ayam....malu buang ke tepi...

Ini sahaja yang boleh dikongsi sempena sambutan hari guru di sekolah saya...

Khamis, Mei 12, 2011

Ini Ibu Ketam Ke Ibu Pelajar?

Agak kasar jugalah bahasa saya malam ini....mungkin kesan daripada kejadian petang tadi di sekolah agaknya..

Tertarik saya dengan perumpamaan melayu lama ini "ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus" ....

Itulah perumpamaan yang paling sesuai dengan ibu bapa yang selalu mempertahankan kesalahan anak-anak mereka sedangkan diri mereka sendiri tidak betul..Mereka juga tidak tahu bahawa sekolah juga mempunyai peraturan mereka yang tersendiri...

Malah guru-guru di sekolah diperlekehkan tanpa menyedari bahawa mereka sendiri sudah memperlihatkan perwatakan sebenar ibu bapa zaman sekarang.

Malah ibu bapa ini boleh mengherdik dan mempertikaikan tindakan guru-guru yang mahu memastikan para pelajarnya berdisiplin dan sentiasa mengikut peraturan sekolah...

Mudah sahaja mengeluarkan pernyataan bahawa guru kurang ajar , sedangkan mereka sendiri kurang ajar kepada guru-guru...

Hanya disebabkan hal yang kecil sahaja, dibesar-besarkan...akhirnya siapa yang malu??? anak-anak mereka juga....

Penjelasan guru-guru tidak diterima, malah guru-guru sukar untuk bercakap, sukar untuk mempertahankan tindakan, segala-galanya sukar...Ini kerana ibu bapa yang tersangat perihatin kepada anak-anak mereka ini, sangat sukar menerima cerita sebenar, amat tidak suka menerima penerangan guru, dan amat suka memintas cakap guru...

Tapi bila guru memintas cakap mereka, guru digelar kurang ajar! guru disuruh mengajar sahaja...apa mereka ingat, sekolah nie, sekolah swasta ke? tidak perlu ambil berat tentang hal-hal dalam sekolah...tidak perlu ambil tahu disiplin sekolah....hanya mengajar sahaja....

Geram saya masih terasa lagi dengan ibu bapa yang sebegini....nasib baik saya boleh bersabar....

Khamis, Mei 05, 2011

Sial Punya Cikgu....

Terkejut saya bila membaca luahan hati seorang pelajar ini....Pelajar ini bukanlah belajar di sekolah saya.....Tapi memang mengejutkan..

Sebagai seorang cikgu, saya rasa memang tidak senang dengan kenyataan ini...kerjaya cikgu ini amat dihormati, mulia dan disanjungi...Kenapa senang-senang sahaja mereka sialkan cikgu???

Kalau anda seorang cikgu, adakah anda akan suka kalau terdapat pelajar yang menulis sebegini????

"EeEeeEEEe,,,gram nya ary ni........sial punye ckgu,,,,dy engat x skit kep kna pkol......adoi!!! dh la kna at peha 3 kli....at tgn ckali....sdih cngt"

Betul-betul mengecewakan....cikgu ibarat ibu atau bapa pelajar semasa di sekolah...apabila pelajar membuat kesalahan yang melanggar peraturan sekolah, tak salah untuk cikgu mengambil tindakan kepada pelajar...Ini semua adalah untuk mendidik pelajar berkenaan supaya menjadi pelajar yang lebih berdisiplin...

Pada saya, tiada seorang cikgu pun yang akan bertindak menghukum pelajar tanpa sebab...Hanya cikgu yang tidak betul ( mempunyai masalah mental ) sahaja yang boleh menghukum pelajar tanpa sebab. Mesti ada yang tidak kena di mata cikgu tersebut sehingga menghukum pelajar tersebut...

Sebagai pelajar pula, jika pelajar tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut, bertanyalah dengan cikgu tersebut...apa kesalahan saya?...Kenapa perlu takut untuk bertanyakan soalan tapi tidak takut untuk membuat perkara yang melanggar disiplin sekolah?...Allah memberikan mulut dan suara...jadi gunakan...

Pada saya, saya akan memberitahu pelajar segala kesalahan sebelum saya menjatuhkan hukuman.Dan jika ada pelajar yang cuba menafikannya, saya akan mendengarnya...pelajar pula kalau nak bertanya tu jangnlah dalam nada marah...meninggikan suara!

Cara tersebut memang tidak betul...kerana dari itonasi pelajar tersebut sahaja telah menggambarkan sikap pelajar itu yang sebenarnya...Ini akan menaikkan lagi kemarahan cikgu yang terlibat...

Sebagai cikgu juga kita perlulah bertindak rasional...

jangan mengambil tindakan secara terburu-buru...

soal siasat dahulu...

Benarkan pelajar untuk membela diri mereka dahulu...

Bila sudah sahih, ada bukti...barulah tindakan yang sesuai perlu diambil...kenalah mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh kementerian...

Jadi tak akan terjadinya sial menyial ini....

Kepada pelajar terbabit, jika anda terlalu bencikan cikgu tersebut pun janganlah diluahkan di fb...jika cikgu tersebut membacanya atau diketahui oleh cikgu yang lain..perkara ini akan dibawa ke pengetahuan Pengetua...kes ini akan menjadi lebih serius...dan impaknya adalah kepada ibu bapa pelajar terbabit...dan saya pasti cikgu terbabit akan mengambil tindakan kepada pelajar ini jika dia mengetahuinya...

Sebelum menaip tu fikirkanlah dahulu bahasa anda...

*******************************************

Sekarang, pelajar di sekolah saya suka meluahkan perasaan benci mereka di dinding-dinding sekolah...hanya cikgu-cikgu yang bertuah sahaja mendapat pengiktirafan tersebut....Selalunya nama cikgu disiplin lah...nasib baik nama saya belum lagi dinobatkan di dinding tersebut...mungkin saya belum cukup garang lagi kot....

Selasa, Mei 03, 2011

Minggu Peperiksaan.....Semoga berjaya....

Minggu peperiksaan sudah datang...Para pelajar mulai sibuk mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan pertengahan tahun...

Saya rasa bukan sahaja di sekolah saya malah di sekolah seluruh Malaysia pun sedang menghadapi peperiksaan pertengahan tahun..Walaupun hanya peperiksaan pertengahan tahun sahaja, tetapi peperiksaan ini juga penting kepada para pelajar untuk menilai prestasi pelajar sama ada boleh menguasai sesuatu mata pelajaran atau pun tidak...

Minggu ni, pelajar menengah atas iaitu tingkatan lima dan tingkatan empat, sudah mula menduduki peperiksaan...Sementara pelajar menengah rendah pula akan bermula minggu hadapan...begitu juga dengan sekolah rendah pun bermula minggu hadapan...Anak saya yang tadika tu pun akan mula exam 10hb nie....

Sementara para pelajar sibuk mengulangkaji, guru-guru pula sibuk membuat overtime ( tak berbayar ) untuk mengetip ( stapler ) kertas-kertas soalan yang telah dicetak..Sekarang lebih mudah sebab kebanyakan soalan adalah setara..Tetapi ada juga mata pelajaran yang terpaksa dibuat sendiri oleh cikgu-cikgu sendiri....

Untuk mengelakkan soalan daripada bocor, sekolah saya telah membuat sistem mengetip soalan tersendiri.. Guru akan mengetip soalan yang bukan diajar oleh mereka..contohnya cikgu Bahasa Melayu akan mengetip soalan Bahasa Inggeris....macam gitulah....

Selain itu juga, pelajar kenalah bersungguh-sungguh untuk menjawab walaupun bukan peperiksaan akhir tahun...Ini kerana keputusan peperiksaan pertengahan tahun ini selalunya akan di ambil oleh ibu bapa di sekolah..Kalau pelajar tidak mendapat keputusan yang baik, ini akan memalukan ibu bapa untuk hadir ke sekolah dan berhadapan dengan guru mereka...

Yang penting releks yea...tenangkan fikiran, banyakkan mengulang kaji pelajaran dan jawablah dengan selesa....

Dahulu saya pernah keluarkan entry "Belajarlah anak-anakku...", Dalam entry ini ada resepi-resepi kejayaan dan cara belajar berkesan yang diamalkan oleh pelajar-pelajar yang telah berjaya dengan cemerlang...Bacalah yea...

Kepada semua pelajar, belajarlah bersungguh-sungguh...semoga anda cemerlang dan mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan kali ini...

Khamis, April 28, 2011

SANDWICH BOMBA...

Salam ceria..

Sejak dua menjak ini, saya agak sibuk dengan aktiviti-aktiviti sekolah yang tidak pernah habis-habis...Sekarang saya sedang sibuk untuk memunggut kerja kursus Geografi para pelajar saya...selepas memunggut kesemuanya, saya sibuk pula untuk menanda buku skrap tersebut...

Memang minggu yang sibuk

Sebenarnya, setiap hari rabu adalah hari ko-kurikulum atau para pelajar saya suka menyebutnya sebagai hari koko....

Dan saya pula adalah antara guru penasihat Kadet Bomba...entahlah kenapa saya minat sangat kat kadet bomba ini.....

Di sini, saya ingin kongsikan tentang pengalaman saya mengendalikan aktiviti kadet bomba ini...

Kami telah mengadakan pertandingan membuat sandwich...Akan tetapi, ahli kadet bomba dikehendaki memasak dengan kreativiti masing-masing seolah-olah mereka sedang berada di dalam hutan @ camping..

Lihatlah gelagat pelajar-pelajar saya ini...

Dalam menyediakan sandwich bomba yang tersendiri...

Ahli kadet bomba berkumpul mengikut kumpulan masing-masing dan mula mencari kayu-kayu mati serta tempat memasak yang bersesuaian....

Aktiviti memasak bermula...ada pelajar yang memasak sardin.....ada yang memasak telur hancur...sampingan , ada yang memasak maggi ( tak termasuk dalam pertandingan...)

Seronok melihat dan memantau bagaimana mereka memasak dan menyediakan sandwich ini....kalau tengok mereka ini, teringat saya sewaktu kecil-kecil dahulu suka sangat bermain pondok-pondok di belakang rumah emak saya....

Kadang-kadang, saya memasak nasi dalam tin susu sahaja tapi tak ada lauklah....dahulu, saya agak susah jugak...nak beli roti pun tak mampu...

Sandwich dah siap!!!
Sekarang sudah dihidangkan.....dan cari pemenang pula....

Inilah antara pemenang-pemenangnya....setelah dipilih berdasarkan kekreativiti, kebersihan dan cara penyediaan...kami, guru-guru memilih 5 sandwich sahaja...

Akhirnya sandwich yang menang ialah sandwich yang dilapis dengan telur hancur dan laipsan keduanya pula ialah sardin...kira 2 dalam satu sandwich lah.....

Saya adalah merasa sedikit sandwich ahli-ahli bomba ini ( untuk jaga hati) tapi kebanyakan daripada mereka tidak membawa garam...jadi sandwich mereka rasa tawar.....

yang penting di sini, mereka sangat gembira dengan aktiviti ini...

Pernah tak makan kelapa sawit bakar....sedap tau tapi mulut akan menjadi oren...saya selalu bakar kelapa sawit nie....main pondok-pondoklah....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...