Rabu, September 28, 2011

PANAS TU SEJUK....

Peperiksaan PMR tinggal beberapa hari lagi....

Rasanya ramai calon PMR sudah semakin berdebar-debar untuk menghadapi hari tersebut.

Bagi yang sudah bersedia, syukur alhamdulillah...

Masa inilah untuk mereka menenangkan fikiran dan menumpukan semua perhatian kepada peperiksaan yang akan mendatang kelak..

Tetapi bagi sesiapa yang masih dalam angan-angan ( nak berjaya tapi tidak berusaha ), masih lagi dengan dunia mereka, akan merasakan bahawa mereka masih lagi tidak terancam..masih boleh bergembira...

Begitulah dengan kejadian yang saya alami sendiri.. Bermula naik sekolah selepas cuti raya tempoh hari sampailah hari ini, latih tubi tidak putus-putus dilakukan untuk kecemerlangan para pelajar .. Saya rasa bukan sekolah saya sahaja malah sekolah lain juga sedang bertungkus lumus untuk persediaan menghadapi peperiksaan ini...Masing-masing mahu memastikan para pelajar mereka lulus dengan cemerlang...

Para pelajar sudah mula bingung, celaru, keliru dan macam-macam lagi perasaan yang bergelora dalam hati mereka. Kadang-kadang mereka sampai tidak tahu apa yang perlu dilakukan lagi. Tidak tahu mana satu yang perlu diulang kaji...

Sampaikan terjadinya dialog seperti dibawah....

"Ok semua, saya hendak terangkan tentang ciri-ciri iklim.. tolong tumpukan perhatian..."

"Malaysia beriklim khatulistiwa iaitu panas dan lembap sepanjang tahun...maksud lembap itu ialah hujan dalam bahasa ringkasnya.."

"Kalau lembap itu menandakan hujan yang turun, apa pula maksud panas??"

"PANAS ITU SEJUK, CIKGU!!!" kata seorang pelajar lelaki dengan penuh keyakinan..

"Hah!! Panas tu sejuk???" jerkah saya...

Semua pelajar ketawa.... saya pun ketawa besar juga...

Kelas ini bukan kelas galus ( gagal lulus ) tetapi kelas yang baik... kenapa pelajar tersebut boleh berkata begitu???

Saya rasa sebab KELIRU, CELARU, dan sekeluarga dengannya....

Kepada calon-calon PMR, ambillah kesempatan yang ada ini untuk menenangkan fikiran anda, tarik nafas panjang-panjang....barulah buka buku dan ulang kaji pelajaran yang lemah...

Ahad, September 25, 2011

Malang tidak pernah berbau...

"Cte, aku tak boleh pergi marhabanlah...rumah aku terbakar!" rintih Cikgu Mahani dalam sedunya..

Belum sempat saya bertanya lanjut, talian telah terputus....

Dalam minda saya tertanya-tanya...

"Nak pergi marhaban ke, nak pergi ke rumah cikgu Mahani?"

Tapi bila memikirkan bahawa cikgu Mahani kesorangan, maka saya terpaksa korbankan marbahan...

Setibanya saya di sana. Saya terus memasuki rumah Cikgu Mahani, Terkejut saya...memanglah rumahnya tidak terbakar keseluruhannya...cuma terbakar bahagian dapurnya sahaja. Tetapi dalam rumah dia dari depan, bilik dan sampailah belakang semuanya hitam legam...

Inilah keadaan ruang tamunya..tapi banyak perabotnya telah dikeluarkan..

Inilah pula keadaan dapurnya pula..

Petang Jumaat lepas, saya dengan beberapa orang guru yang lain bekerjasama membersihkan mana-mana yang patut. Tempat yang perlu kami bersihkan dahulu ialah bilik utama. Ini memandangkan cikgu Mahani ni dah beberapa hari tidur meumpang di rumah adik iparnya dan hotel murah..

Inilah cikgu Mahani yang ditimpa bencana.. Hati ini hari dia, kita tidak tahu hari kita pula ...sebab Malang Tidak Berbau...

Setelah penat memberus dinding-dinding tersebut barulah bersih macam di atas... namun taklah bersih sangat sebab jelaga hitam tu amat sukar hendak dibuang..

Syukur alhamdulillah, malam tu dapatlah cikgu Mahani tidur di rumahnya sendiri beralaskan tilam sahaja...

Punca kebakaran masih lagi misteri sebab menurut bomba kebocoran gas namun tak pasti dari mana datangnya api. Nasib baik api tersebut terpadam sendiri kerana paip air bocor....

***************************************************************

Kenapa gambar saya jadi macam gini yea?????????

Ada sesiapa boleh bantu...

Jumaat, September 16, 2011

Bila Teman Lelaki anak beraya ke rumah..

Petang semalam, buat pertama kalinya saya menerima kunjungan orang yang tidak dikenali iaitu dua orang lelaki berusia lingkungan 20-an.

Bila dah kata hari raya, bermakna kenalah mempelawa mereka masuk ke rumah walaupun hati saya berat sekali. Ini kerana saya tidak menggalakkan budaya "pak we" "mak we" nie.

Lagi pula, anak-anak saya masih bersekolah dan tidak sesuai untuk mempunyai pasangan hidup. Tapi hidup di zaman serba mencabar dan terlalu banyak kemudahan komunikasi menyebabkan budaya ini sukar untuk dibendung. Begitu juga dengan anak-anak saya...

Sebagai seorang ibu yang belum pernah menghadapi situasi ini, saya mestilah berfikir panjang dan rasional. Sudah tentu saya menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang ibu. Jadi sesi beraya semalam seperti menjadi satu sesi temu bual atau soal siasat. Banyak yang saya cuba tanyakan kepada pemuda tersebut dan dijawab dengan baik juga.

Namun, naluri saya masih lagi tidak menyenang kehadiran pemuda tersebut. Dan saya nyatakan kepada pemuda tersebut bahawa saya mahu anak saya belajar dahulu. Saya tidak mahu anak saya hanyut dengan sandiwara dunia seperti budak-budak lain. saya mahu anak saya berjaya dahulu dan boleh menguruskan hidupnya sendiri di masa hadapan.

Nampaknya pemuda tersebut faham.

Bukan niat untuk memutuskan hubungan mereka, namun saya berdoa supaya anak saya akan sedar bahawa apa yang saya lakukan adalah untuk kebaikan dirinya. Oleh itu, kemudahan "handphone" akan saya tarik balik. Ditambah pula, tidak lama lagi anak-anak saya akan menghadapi peperiksaan akhir tahun dan saya mahu mereka tumpukan perhatian kepada pelajaran..

Apa pula pandangan sahabat dalam menangani permasalah diatas?

Boleh kongsikan bersama-sama...

Rabu, September 14, 2011

Keturunan Kencing Manis....akukah yang terpilih????

Arwah atuk perempuan sebelah emak saya meninggal semasa saya kecil lagi.. Dengar cerita arwah atuk perempuan saya tu meninggal disebabkan penyakit Kencing Manis yang dihidapinya itu...itu kisah dululah...

Sekarang, penyakit tersebut telah menurun kepada emak saya. Dengar cerita ( sebab mak saya suka sangat berahsia) tahap kemanisan darah emak saya itu pernah mencapai nombor 22 bacaannya. Memang tinggi kan? Manusia normal yang saya tahu ialah dalam 4 hingga 7 sahaja.

Emak saya pula pernah menyuntik insulin sendiri...kira penyakit tersebut agak parah kan? Saya sebenarnya pun baru tahu hal ini setelah dimaklumkan oleh anak saya. Anak saya pernah nampak emak saya menyuntik jarum di bahagian perutnya. tapi bila ditanya, emak saya diam sahaja tanpa berkata-kata...

Sebulan sebelum puasa yang lepas, emak saya telah ditahan di Hospital Kota Tinggi selama 20 hari..Terkejut juga sebab memang saya tahu dia sentiasa sakit kaki tapi tak sangka pula, rupa-rupanya kakinya sudah bernanah teruk ..20 hari juga emak saya ditahan...saya pula berulang-alik dari JB ke Kota Tinggi untuk menjenguk beliau. Itu yang saya jarang nak meng "up date " blog saya ni..

Beginilah keadaan kaki emak saya yang teruk itu...ngeri tau kalau tengok...sebelah tu kapas sahaja. .

Ini semasa saya melawat emak saya..kasihan mak sebab tidak boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda jika mahu bergerak ke mana-mana..Nasib baik kaki emak saya tidak kena potong...

Hari raya hari tu, kaki emak saya masih tak berapa baik tapi telah menampakkan perubahan yang positif. Alhamdulillah....

Masa akan datang, saya rasa saya juga akan mewarisi penyakit keturunan ini. Ini kerana semasa mengandung, saya didapati paras gula dalam darah saya tinggi.

Jadi, saya perlu berjaga-jaga sedari sekarang supaya penyakit ini tidak memudaratkan saya...

Khamis, September 08, 2011

GIGITAN SAYANG DI PAGI 1 SYAWAL

Kisah ini berlaku pagi sebelum raya...kira-kira pukul 3 pagi...

Sedang enak dibuai mimpi , tiba-tiba saya terasa kaki saya sakit. seakan-akan di gigit sesuatu. Namun saya tidak ambil peduli dan meneruskan tidur semula. mungkin gigitan sayang kot? he he he.

Tapi gigitan kedua telah membuatkan saya tersedar dari tidur dan terasa amat bisa..Ini baru betul-betul gigitan yang menyakitkan...tak ada gigitan sayang lagi tapi......

Apabila sedar sahaja, saya terus melihat-lihat dan mencari-cari apakah binatang yang telah menggigit kaki saya... Terperanjat besar saya bila saya ternampak seekor lipan yang besar dan hitam cuba lari ke bawah tilam...Ingin sahaja saha mencincang lipan tersebut , namun saya khuatir jika lipan tersebut akan menyerang anak-anak saya yang sedang tidur..

gambar pinjam google...

Apa yang boleh saya lakukan hanyalah ...menjerit sahaja....

Bisa sampai ke betis..rasa sakit sangat...tak lama kemudian, bisa mula terasa di peha pula...panik saya....

Suami ajak pergi ke klinik...ada ke klinik buka pagi-pagi buta hari raya ni?????

Sampai pekan Kota Tinggi, sunyi sepi...semua kedai tutup dan klinik yang 24 jam tu pun tutup....terus pergi ke hospital Kota Tinggi dan daftar bahagian kecemasan.. nasib baik dilayan dengan cepat...tak tahan bisanya....

Inilah klinik yang saya nak pergi...siap tulis 24 jam tapi malam raya tutup...

Tak pasal-pasal kena suntik dengan satu jarum kat punggung untuk tahan sakit dan dua suntikan bius lagi kat ibu jari untuk hilangkan bisa...lepas tu kena balut ibu jari...

Esok paginya..dalam sakit-sakit sempat juga melaram untuk menyambut hari raya...

********************************************

Bila ceritakan dengan abah dan mak keesokkan paginya, abah cakap ada petua tertentu jika hendak hilangkan bisa lipan tu..tapi agak geli jugaklah caranya...

Kata abah, kalau kita kena gigit dengan lipan, terus korek hidung dan selawat tiga kali dan usap dekat tempat yang kena gigit lipan tu...Biar betul??? gurau ke???

Tapi abah cakap memang itu petuanya...bukan main-main....lepas sapu tu, tak sampai lima minit dah hilang bisa dan boleh berlari-lari lagi....Tegas abah lagi....

Percaya? tak percaya? percaya? tak percaya????? tapi saya memang tak sanggup nak buat method tersebut...Gelilah!!!!!!

Kata suami pula, kalau ada batu lipan lagi mudah....letak batu tersebut di bahagian yang digigit..nanti batu lipan itu akan menyerap segala bisa lipan tersebut masuk dalam batu tersebut...entahlah mana satu boleh dipercayai...

Yang pasti dalam dunia serba moden ini, lebih baik pergi berjumpa doktor ambil suntikan dan ubat...rasa lebih dipercayai.... betul tak????

Rabu, September 07, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI...terlambat ke???

Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN kepada semua rakan-rakan dan anak-anak murid saya yang saya kasihi di alam maya ini...

Hari raya tahun ini cukup bermakna kepada saya dan keluarga kerana saya berhari raya di 2 negeri iaitu Kota Tinggi, Johor ( rumah keluarga saya ) dan di Machang, Kelantan ( rumah keluarga suami saya ). Hari raya pertama di Johor dan hari raya ke 2 dah berada di Kelantan...

Seperti biasa, kami memang suka berpakaian sedondon.. Tahun ini, kami memilih warna ungu muda.. Pada hari raya ini juga, saya meraikan sekali hari lahir anak sulung saya, Nurul Adhwa. Kebetulan tarikh lahir Adhwa pada 30hb Ogos jadi saya hanya dapat membelikan kek hari jadi dan memotong kek tersebut bersama-sama pak cik, mak cik dan sepupu-sepupunya sahaja..

Bagaimana dengan sambutan hari raya rakan-rakan sekelian..pasti lebih hebat lagi kan???

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...