Jumaat, Disember 30, 2011

Tidak Sedar Semakin di Mamah Usia...

Sudah lama saya tidak berblog..Minggu lepas anak saya ditahan di wad dan agak penat berulang alik ke hospital..

Komputer saya buat hal pula...Banyak sangat masaalah sehingga tidak teringat ulang tahun kelahiran diri sendiri.. Terima Kasih kepada sahabat FB yang sentiasa mengingatkan...

30hb Disember....

Rupa-rupanya saya sudah semakin dimamah usia...

Usia semakin bertambah dari tahun ke tahun..

Kata orang kalau lahir di hujung tahun ini bagus... sebab sentiasa muda......

Itu kata orang...Sudah semakin berusia ini tidaklah saya menyambutnya seperti kanak-kanak rabena tu...hanya berdoa agar dipanjangkan usia dan diberikan kesihatan serta kebahagiaan di dunia dan akhirat..Amin...

Ahad, Disember 18, 2011

SUKARNYA MENCARI KEM REMAJA DI JB..

Cuti sekolah sudah pun hampir berada dipenghujungnyan ...tinggal beberapa minggu lagi sahaja mereka akan bersekolah..

Sebagai seorang ibu yang mempunyai anak-anak yang semakin membesar. Sudah pastinya saya juga tidak mahu anak-anak membazirkan masa mereka dengan melayari internet sepenuh masa. Saya juga tidak gemar jika mereka asyik bermain dan menonton tv.

Jika sekolah di luar negara, budaya summer camp atau kem musim panas memang sudah menjadi tradisi mereka tetapi budaya ini agak sukar di negara ini. Almaklumlah negara kita cuma ada musim panas sahaja..

Baru-baru ini saya mencari program-program yang sebegini untuk anak-anak saya malangnya program sebagini agak kurang di Malaysia. Bukan tiada tetapi program sebegini tiada di negeri Johor. Kebanyakannya diadakan di Kuala Langat Selangor..Jauh tu.....

Program yang diadakan di Johor anjuran Ustazah Nor Bahyah pula diadakan di Batu Pahat. Memang menjadi kesukaran untuk anak-anak saya menyertainya...

Rasanya terlalu rugi jika saya tidak menghantar anak-anak saya ke sana.. bukan saya tidak sayangkan anak-anak saya. Atau saya tidak pandai menjaga anak-anak saya...Namun saya rasa pengisian program-program tersebut sangat membantu dalam membentuk keperibadian dan keyakinan anak-anak saya dalam menghadapi cabaran tahun hadapan..

Kekadang, anak-anak perlukan pembaharuan dalam mencorakkan kehidupan mereka..

Sabtu, Disember 17, 2011

SELAMAT PENGANTIN BARU CIKGU...

Bila tiba hujung tahun sahaja, saya dan cikgu Mahani sudah mula berkira-kira hendak membeli hadiah sempena perkahwinan cikgu-cikgu muda di sekolah ini.

Hujung tahun ini sahaja, seramai 4 orang cikgu di sekolah saya akan mendirikan rumah tangga. Tahniah kepada mereka.

Cikgu Siti Faridah dan cikgu Nurul Afifah telah diakad nikahkan pada 26hb Nov yang lalu . Mungkin cikgu-cikgu ini mengambil berkat sempena 1 Muharam iaitu tahun baru Islam. Malangnya, saya tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana majlis tersebut diadakan di Kelantan dan Segamat. Kebetulan pula kami guru-guru baru bercuti setelah seminggu dikehendaki hadir ke sekolah.

Tahniah juga kepada pasangan cikgu Norhafizah dan cikgu Pairul Irwan kerana kedua-dua cikgu ini merupakan cikgu sekolah ini. Pasangan ini adalah guru sesi petang.

Kebetulan pula, saya berada di Melaka..Jadi saya mengajak suami saya menghadiri perkhawinan ini di Jasin, Melaka..

Hari ini pula, majlis berlangsung di Perlis pula ( belah lelaki )..Maaflah cikgu Pairul, saya tak dapat pergi ke Perlis kerana anak saya akan menghadapi ujian diagnostik murid tahun 1 hari ini...

Buat mereka, saya sentiasa doakan agar pasangan pengantin baru ini dapat mengharungi kehidupan berumahtangga yang penuh mencabar dan bersabar dengan segala cobaan yang mendatang.

Selamat Pengantin Baru..

Jumaat, Disember 16, 2011

Merentasi Banjaran Titiwangsa..

Kali ini saya nak berkongsi mengenai pengalaman saya menyusuri jalan-jalan di Banjaran Titiwangsa ketika saya dan keluarga pulang ke Kelantan baru-baru ini..

Sudah acapkali kami menyusuri negeri-negeri pantai timur, kali ini suami saya memutuskan untuk menggunakan jalan lain pula iaitu melalui Grik,Perak.

Jika kita melalui Grik, kita akan melihat keindahan beberapa buah tasik yang banyak terdapat di Perak seperti Tasik Temenggor, Tasik Chendering, Tasik Banding dan lain-lain lagi.

Selepas menyusuri tasik, kami telah dihidangkan dengan pemandangan-pemandangan yang menarik sekali..Jadi saya tidak melepaskan peluang mengambil beberapa gambar di kawasan rehat khas yang terletak tinggi dari aras laut..

SubahanAllah...Suasana pun macam di Genting Higland...nyaman dan sejuk...

Kabus sana sini...cantik sangat! umpama tasik kabus sahaja...

Perjalanan selepas itu, agak menyukarkan juga kerana keadaan suhu semakin sejuk dan ada kala kami terpaksa merempuh kabus yang sangat tebal...

Umpama memasuki alam lain...alam bunian!!!seramnya...

Anak-anak begitu teruja mengeluarkan tangan ingin merasa kabus tersebut....sejuk!!!!

Alhamdulillah, walaupun kami lambat tiba Kelantan , namun ini merupakan pengalaman yang paling berharga bagi saya dan anak-anak...

Khamis, Disember 15, 2011

ASAM PEDAS JOHOR LAGI POWERR!!!

Assalamualaikum wbt..Salam jumpa kembali..

Cuti ini saya berkesempatan pergi ke Melaka. Hairankan? Kenapa saya asyik bercuti di Melaka sahaja..Sebenarnya suami saya bekerja di sini. Sudah lama suami saya bekerja di Melaka dan bila cuti sahaja, saya memang membawa anak-anak saya tinggal di Melaka untuk beberapa hari...

Melaka memang terkenal dengan distinasi-distinasi pelancongan menarik yang sememangnya menggamit pelancong dalam dan luar negara untuk melawat ke sini. Dalam entry-entri saya yang lalu, sudah banyak saya menceritakan pengalam saya melawat tempat-tempat yang menarik di Melaka.

Untuk kali ini saya ingin berkongsi tentang makanan pula..Setelah terlalu kerap saya singgah di Melaka, suami saya telah beberapa kali membawa saya makan..( jalan-jalan cari makan )..Beliau sangat gemar membawa kami anak beranak makan ikan bakai di Umbai..

Sebenarnya makan ikan bakar ni biasa sahaja bagi semua orang..Memanglah sedap tapi mahal. Anehnya di Melaka ini, ikan bakar selalunya dihidangkan dengan nasi lemak!..Layan ajelah.....

Hari tu, suami saya membawa kami makan asam pedas Melaka.. Dengar cerita Melaka ini popular juga dengan hidangan asam pedasnya. Ramai yang suka dengan asam pedas Melaka.

Gambar pinjam kat google...

Pernah dahulu saya dipelawa makan malam di rumah rakan suami saya, kami dihidangkan dengan lauk asam pedas jugak.. dan baru-baru ini pula suami saya sekali lagi membawa kami makan asam pedas di medan selera bersebelahan Pasar Borong Batu Berendam..

Bukannya tidak sedap..Jangan marah yea orang Melaka...Cuma tekak saya nie tekak orang Johor atau nama lainnya tekak orang Jawa...Asam pedasnya tidak power!.

Dibandingkan dengan asam pedas di Batu Pahat, memang sedap dan power! Terliur bila saya teringatkannya...kelebihannya asam pedas di sini dicampur dengan sayur masin atau sayur jeruk..mungkin untuk menggantikan penggunaan asam kot..Insya Allah, hujung minggu ini saya nak ajak suami saya ke sana...

Tapi yang membuatkan saya terliur sekali ialah asam pedas masakan emak saya dan kakak saya..Puhhh, memang power!..pekat, likat, sgt pedas, cukup rasa dan sememangnya akan membuatkan panas perut sesudah memakannya...memang sedap!!!!..( dah terliur nie he he he ) tidak perlu campur sayur jeruk , cuma banyakkan daun kesum sahaja...wow!!!

Saya?..bukan saya tidak pandai masak tapi suami saya memang tidak gemar asam pedas Johor..Terlalu pedas katanya...almaklumlah orang Kelantan..masakannya manis-manis sahaja. Anak-anak juga tidak berapa menggemarinya kecuali anak kedua saya sahaja....

Okeylah, ini sahaja yang dapat saya kongsikan untuk kali ini..Selamat beristirehat semua..

Wassalam..

Rabu, Disember 14, 2011

Jom pergi Golok, Thailand...

Cuti lepas, saya berkesempatan pergi ke Naratiwat, Thailand. Saya bukannya mempunyai passpot antarabangsa. Pernah juga jejakkan kaki di Singapura, tapi menggunakan passport khas dan sudah tamat tempoh..

Semuanya tiada dalam perancangan saya...Suami saya ingin melawat saudaranya di Pekan golok, sudah lama pula kami tidak menziarahi dia. Kali terakhir kami menziarahi beliau pada 16 tahun yang lepas. Jadi dikesempatan ini, keluarga saya dan dua keluarga lagi bertolak ke Rantau Panjang untuk merentasi Sungai Golok yang merupakan sempadan Antarabangsa antara Malaysia – Thailand.

Gambar ni diambil oleh suami saya menggunakan kamera cap ayam aje..Ketika ini saya dan keluarga sebelah suami saya sedang menunggu bot dari seberang tebing..sementara suami saya sudah menyeberanginya terlebih dahulu...

Kedudukan Rantau Panjang dengan Pekan Golok tidak sampai 50 meter sahaja. Kalaulah sungai tu cetek, sudah pasti mudah sahaja untuk direntasinya. Terlalu dekat.

Untuk merentasi sungai tersebut, kita perlu menggunakan bot yang mengenakan tambang RM1.00 sahaja sementara budak pula percuma. Dan yang paling penting TANPA PASPORT!

Berdebar-debar juga...anak-anak mula cuak dan sentiasa berdoa agar tidak tenggelam...

Kata orang kalau kita berada di pekan Golok , nyawa kita umpama dihujung tanduk sahaja. Ini kerana penduduk di selatan Thailand ini bebas menggunakan senjata api. Takut juga saya namun buang sahaja perasaan tersebut. Almaklumlah, saya dan keluarga seperti pendatang haram tanpa izin. Kalau ada apa-apa yang terjadi, umpama MATI KATAK sahaja...

Alhamdulillah kami selamat pergi dan pulang.

Selasa, Disember 13, 2011

Selamat Hari Jadi Anakku...

Selamat bersua kembali..

Semalam. 12hn Disember 2011 genaplah 6 tahun umur anak bujang ku.

SELAMAT HARI LAHIR ASYRAF....

Semoga Asyraf menjadi manusia yang berguna dan berjaya di dunia dan di akhirat..Amin..

Petangnya, bawa anak-anak berjalan-jalan dan cuci-cuci mata ke Danga Bay..

Kalau pergi waktu malam lagi seronok dan meriah...

Asyraf , emak sayang asyraf!

Ahad, November 27, 2011

TUNGGU BUMI DITERBALIKKAN...

Salam Maal Hijrah...

Hari ini saya ingin kongsikan tentang cerpen yang saya telah baca di akhbar Berita Minggu hari ini...Agak menarik juga cerpen ini...

Saya suka dengan dialog di bawah yang saya petik daripada cerpen tersebut..

Jangan duduk berpolitik 24 jam! ( ditujukan kepada kerajaan ) Pergi ke hulu berpolitik! Pergi ke hilir berpolitik! Dalam tidur berpolitik! Dalam mimpi berpolitik! Fitnah-memfitnah, jatuh-menjatuh sesama Melayu Islam. Aib-mengaib, tidak cukup dengan surat khabar, guna blog, guna video ditonton beramai-ramai mengaibkan sesama Melayu-Islam!...

Orang Melayu-Islam yang hidup susah tidak dipedulikan,sampai terheret masuk gereja!Murtad!. Buat perhimpunan sepuluh kali pun untuk mencegah murtad, tidak jadi apa, kalau tidak bertindak tegas! Pihak yang berjaya memurtadkan orang Melayu Islam yang tengok, tentu ketawa senang hati sebab mereka sudah menang! Mana nak bendung ajaran sesat lagi...

Sudahlah saban waktu segala drama, filem penuh dengan cerita karut, hantu, khurafat, tahyul! Kerana ini semua, minda orang melayu Islam sudah semakin lemah! Sudahlah kampung laman diberi kepada orang, agama pun turut ditukar! Mereka pecah belah. sudah jadi puak minoriti di negara sendiri!..

Saya rasa negara kita sudah kembali hidup dalam zaman jahiliah!...

Menarikkan cerpen ini...begitu selamba menyindir orang-orang yang memakan lada....secara keseluruhannya, saya memang agak setujuk dengan tema yang diutarakan dalam cerpen ini.. Persoalan-persoalan yang cuba dirungkaikan juga kena dengan dunia kita sekarang...cuma cerpen ini agak berat untuk dibaca oleh orang-orng muda sekarang walaupun bahasanya agak mudah..Rasanya mereka tidak akan membaca cerpen sebegini setelah melihat tajuk cerpen yang agak berat itu...

Bila melihat situasi ini memang saya juga takut jika Allah swt akan menterbaikkan bumi Malaysia ini seperti bumi Sodom...( cerita zaman nabi )... sebab semua tanda-tanda yang berlaku sudah ada... tanda-tanda kiamat!

Sabtu, November 26, 2011

Mari baca doa....

Alhamdulillah...saya dan anak-anak berkumpul bersama-sama membacakan doa akhir tahun dan doa akhir tahun sebanyak 3 kali setiap doa...

Selamat tahun baru Hijrah 1433...Semoga hidup kita semakin diberkati dan dirahmati Allah swt....Insya Allah

Doa Akhir Tahun
doa-akhir-thn0.jpg

Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka. Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata: “Hampalah kami di sepanjang tahun ini”.

****************************************************************************************

Doa Awal Tahun.

doa-awal-thn0.jpg

Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

Selasa, November 15, 2011

Pelajar bawa laptop ke sekolah...memang hebat...

Minggu ini minggu terakhir persekolahan bagi mereka yang bergelar pelajar..namun bagi calon SPM pula, minggu ini baru bermula peperiksaan yang akan menntukan masa depan mereka itu...

Bagi yang tidak menduduki peperiksaan pula, minggu ini umpama minggu yang menyeronokkan...kenapa?

Sebab minggu ini mereka tidak akan belajar, tidak akan membuat latihan, tidak akan mengulangkaji pelajaran dan macam-macam lagi.. Pada masa ini juga, ramai pelajar akan mengambil kesempatan untuk ponteng sekolah... ada yang bekerja lagi....Malah ibu bapa juga ada yang tidak ambil peduli lagi sama ada anak-anak mereka hadir ke sekolah ataupun tidak...

Bagi pelajar-pelajar yang hadir ke sekolah pula, saya ucapkan syabas!!!!

Sebenarnya, ada beberapa program yang telah diatur oleh guru-guru dalam memenuhi jadual minggu ini...umpamanya pada masa inilah, guru-guru akan melengkapkan PAFA, ujian lisan, pertandingan bercerita, kuiz dan sebagainya...

Paling hebatnya, ramai pelajar juga yang mengambil kesempatan untuk membawa laptop mereka sendiri ke sekolah...

Wah....lihatlah pelajar sekarang...dulu masa saya, "handphone" pun belum tercipta lagi...laptop, jauh sekali... Masa saya belajar kat U dulu pun saya tak punya handphone...komputer pun guna komputer di makmal komputer U...

Sebenarnya, kami warga guru tidaklah menggalakkan para pelajar membawa laptop ke sekolah.. ini disebabkan pihak sekolah tidak akan bertanggungjawab jika laptop mereka hilang atau dirosakkan oleh pelajar lain..Jika pelajar membawa laptop juga ke sekolah, ini merupakan tanggungjawab mereka sendiri... sementara guru juga dikehendaki memantau penggunaan laptop tersebut agar tidak disalahgunakan.. Pelajar juga dilarang membuka aplikasi facebook atau laman-laman web yang berbaur lucah...

Tapi pada saya, lebih baiklah para pelajar ini tidak membawa laptop ke sekolah... ini akan membebankan pula guru-guru yang masuk ke kelas mereka kerana terpaksa memantau penggunaan laptop mereka itu....

Jumaat, November 11, 2011

Masih terasa penatnya...

Tiba-tiba sahaja terasa rindu dengan blog ini...nak buat entry baru asyik tak sempat sahaja...

Tapi nak juga catatkan sesuatu di sini ...

2 hari yang memenatkan di sekolah...

Hari Rabu

Urus jamuan untuk kelas tingkatan 3 Dinamik 3. Raya Haji pun masih berfikir-fikir nak buat apa dengan wang yang dipunggut pada hari jumaat lepas.. Adalah tak sampai RM100. Pelajar2 saya bercitarasa mewah..nak Mc Donald atau KFC...mana cukup!.. Akhirnya, saya orderkan meehoon soto dan soto nasi... lain-lain dibawa oleh mereka sendiri...

Hari Khamis...

Urus Jamuan Akhir Tahun Lembaga Pengawas...Lagi penat sebab sekolah asyik cuti sahaja..Kekangan masa.... Deepavali cuti seminggu lepas tu Hari Raya Aidil Adha cuti 4 hari...Akhirnya tak buat di hotel hanya buat di sekolah sahaja...Para pengawas pun baru lepas peperiksaan... Pengawas tingkatan 3 pula dah macam biskut... kejap ada kejap tiada....tak banyak yang mereka boleh bantu so yang kena uruskan balik semula kepada guru-guru penasihatnya....itu yang jadi penat....

Tapi berbaloi juga dengan kepenatan ini sebab semua yang diuruskan berjalan dengan jayanya...

Terima kasih kepada yang membantu...

Isnin, November 07, 2011

17 tahun dah rupanya perkahwinanku...

Tanggal 5hb November yang lalu genaplah 17 tahun saya melayari pancaroba rumah tangga bersama-sama suami tercinta..Suami yang begitu sabar melayan karenah-karenah saya, suami yang begitu menyayangi dari saya, suami yang begitu mengambil berat tentang diri saya dan macam-macam lagi..Ditambah lagi dengan kehadiran lima orang cahaya mata yang sentiasa membuatkan rumahtangga kami riuh rendah dengan gelak ketawa...

Ya Allah ,
Tuhan yang menyatukan dua hati kami,
Engkau campakkanlah ke dalam hati kami, perasaan kasih sayang antara satu sama lain,
sebagaimana Engkau satukan hati Nabi Muhammad saw bersama Saidatina Khadijah r.ha. Syukur Ya Allah... Berikanlah kepada kami kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Rabu, November 02, 2011

Musim Tengkujuh dan Angin Monsun Timur Laut...

Bulatin Utama di TV3 sebentar tadi menguar-uarkan tentang hujan lebat yang akan melanda negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia terutamanya negeri Kelantan dan Terengganu..

Dengan kata lain, musim tengkujuh akan melanda negeri-negeri tersebut...Tadi pagi, kami , guru-guru wanita juga ada berbual mengenai perkara ini.. kemungkinan negeri Johor juga akan kena tempias sama dan dijangka juga akan mengalami banjir besar..betul ke???

Saya selalu menerangkan kepada anak-anak saya bahawa hujan yang kita alami bulan lepas adalah hujan yang berpunca daripada tiupan angin Sumatera.. Sebab itulah hujan yang melanda kawasan JB ni kerap berlaku di waktu petang dan awal pagi..Kadang-kadang kita panggil hujan peralihan monsun iaitu dari angin monsun barat daya bertukar kepada angin monsun timur laut..

Dan sekarang bulan November, jadi angin yang bertiup adalah angin Monsun Timur Laut..Ini kerana angin yang membawa hujan lebat ini bertiup dari bulan November hingga bulan Mac 2011 nanti.. Disebabkan angin ini melalui Laut China Selatan yang luas itu, ia membawa angin lembab yang akan menurunkan hujan yang lebat ke negeri-negeri pantai timur sehingga menyebabkan banjir yang besar..Selalunya laut akan bergelora dan nelayan tidak akan boleh pergi ke laut. Inilah yang dipanggil musim tengkujuh...

Ramai orang tidak tahu apa di musim tengkujuh? dan ada juga yang dah tahu namun tidak tahu untuk menerangkannya...saya cuma mahu berkongsi ilmu pengetahuan sahaja... saya suka subjek Geografi dan mahukan para pelajar saya faham dengan sistem angin ini...namun mereka masih tidak dapat mengaitkannya walaupun sudah mengalaminya..

Selalunya jika musim tengkujuh berlaku, orang ramai selalunya ditegah daripada bermandi manda di tepi-tepi laut. Namun kalau musim cuti sahaja, mesti ada kita dengar berita tentang kematian atau lemas...Lagi ganas ombak , lagi suka mereka yang degil mandi...

Kata orang, sediakan payung sebelum hujan, berhati-hatilah yea...

*Suka bermain dengan banjir sebab kawasan saya tak pernah banjir...*

Sabtu, Oktober 29, 2011

Misi Menawan Wonderland Melaka Berjaya...

Akhirnya perancangan yang diatur sejak sekian lama tercapai jua ..

Anak-anaklah yang paling gembira sekali..

Sebagaimana yang diketahui, rakyat Johor Bahru ( mungkin saya sahaja kot ) terutamanya, kurang tempat-tempat beriadah seperti ini. Saya dan keluarga pernah pergi ke Taman Tema Air Starhill di Kempas, tapi kurang menarik dan taman tema air di Tiram pula dalam kawasan bangunan pasar raya Giant. saya pernah nak masuk tapi macam tak berbaloi pula..

Dahulu semasa saya pergi ke Kuala Lumpur, saya sekeluarga merancang untuk mandi di Sunway Lagoon, namun tidak tercapai kerana kaunter tiket telah tutup...Terlewatlah...

Mungkin tempat ini tidak sama dengan Sunway Lagoon, namun berbaloilah dapat mandi sepuas-puasnya...Dengan melayangkan RM118.00 untuk saya dan anak-anak saya, anak-anak saya memang menggunakan sepenuhnya perkhidmatan yang disediakan...habis semua tempat hendak dicubanya...

Bergambar di hadapan pintu masuk ...
Semua tempat hendak dicubanya...
Ketawa gembira ..saya tetap nak mencubanya juga.
memang best......
Dua orang anak yang memang saya tak boleh hilang daripada pandangan saya...

Dalam pada itu jua saya sebagai ibu memang sentiasa memerhatikan mereka dan sesungguhnya saya cukup bimbang dengan keselamatan mereka. namun alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar.

Rasanya selepas ini, misi untuk percutian taman tema air ini ialah di Gambang, Pahang..Kebetulan saya akan pulang ke Kelantan setiap tahun, jadi misi tersebut mungkin tercapai... Insya Allah
Hari ini, saya akan bertolak balik ke JB...Mudah-mudahan semuanya selamat...

Rabu, Oktober 26, 2011

Buat Lawatan sendiri...

Hari Isnin yang lalu, anak-anak sibuk nak pergi jalan-jalan.. maklumlah cuti seminggu..

Jadi, timbul pula idea nak bawa mereka pergi ke Kota Tinggi.. Niat hati nak jalan-jalan mencuci mata melihat kain baju sebab Pekan Kota Tinggi tu umpama "Syurga Kain."

Tengoklah betapa gembiranya anak-anak saya ini...siap berposing di hadapan peta yang besar ini...dah macam pahlawan zaman moden pula...

Tiba-tiba teringat nak melawat Muzium sejarah Kota Tinggi. Sekurang-kurangnya mereka dapatlah juga pengetahuan mengenai sejarah awal Kota Tinggi..

Sempatlah bergambar sekeping sahaja..

Tak dapat pegang meriam yang besar, meriam yang kecil jadilah....

Sebenarnya, kami tidak dibenarkan bergambar di dalam muzium, tapi degil jugak..kami tangkaplah gambar sikit-sikit...

Biasalah, bila bawa anak kecil ke muzium nie, mereka nak cepat keluar aje sebab mereka takut sikit.. almaklumlah.. suasana di muzium nie suram-suram sahaja...takutlah mereka...

Apa-apa pun mereka semua sangat gembira kerana dapat melawat muzium tersebut. Walaupun masa singkat ( tiba pukul 4.10 petang dan muzium tutup pukul 4.30 petang ), namun masa tersebut dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya...

Esok, Insya Allah kami akan bertolak ke Bandar Raya Bersejarah Melaka dengan menaiki kereta api...Nak drive sendiri, malas pulak...agak memenatkan so ambil pengalaman naik kereta api..

Akhir kata, Selamat bercuti dan selamat menyambut Deepavali..

Ahad, Oktober 23, 2011

Cuti seminggu lagi...

Nampaknya cuti sekolah lagi....

Sekolah saya akan bercuti selama seminggu sempena menyambut Deepavali. Bukan kerana sekolah saya majoriti beragama hindu tapi kerana semangat 1 MALAYSIA.....

Anak-anak dah mula memikirkan apa yang hendak dibuat semasa cuti ini. Masing-masing merenggek hendak berjalan-jalan..Kali ini mereka berpakat hendak mandi manda di wonderland Melaka. Insya Allah, kami akan ke sana...

Kebetulan pula, saya dan keluarga dah anggap Melaka seperti rumah ke dua saya. malah saya dah agak jemu untuk melancong di sana, namun kerana wujudnya taman tema air ini, saya jejakkan juga kaki di sana. Mudah-mudahan bayaran masuknya tidaklah semahal di Taman tema A Famosa .

Selamat hari Deepavali bagi yang menyambutnya....

Rabu, Oktober 19, 2011

Merah Hitam "Minum Petang"...

Rasanya lama tak up date blog nie. Maaflah kawan-kawanku, bukannya tak sudi menjengah laman-lamanmu tapi agak sibuk menolong melengkapkan blog surau sekolah saya..

Untuk entry kali ini, saya ingin berkongsi gambar-gambar majlis jamuan minum petang atau "high tea" sekolah saya. Majlis ini telah diadakan pada hari sabtu yang lepas di Hotel Blue Wave, Johor Bahru..

Bergambar beramai-ramai tapi tak semua guru naik sebab ramai nak berposing di bawah dan ada juga yang tidak hadir..

Dengan tema merah dan hitam, majlis ini agak meriah juga. Kebiasaannya, jamuan di sekolah saya, para guru yang sudah berkahwin dibenarkan membawa pasangan masing-masing bersama anak-anak mereka. Saya pun begitu juga, akan membawa semua keluarga saya. Tapi kenalah keluarkan budget sendiri...

Bersama suami saya di majlis tersebut

Bergambar dengan kawan-kawan yang duduk berdekatan dengan meja saya..

Cuma ini sahaja yang dapat dikongsi, gambar hanya ditangkap dengan menggunakan handphone cap ayam aje...Kamera pula tertinggal di rumah...

Selasa, Oktober 11, 2011

Akhirnya, bebas daripada belenggu peperiksaan.

Hari ini merupakan hari terakhir peperiksaan PMR...

Bagi pelajar yang selesai semalam, mungkin sudah meraikan kegembiraan mereka..bagi pelajar yang mengambil bahasa Arab, bahasa Cina dan bahasa Tamil, hari ini baru boleh meraikannya..Esok mereka dan mula bersekolah seperti biasa namun mereka tidaklah belajar..

Dan guru-guru mula sibuk menyediakan pelbagai aktiviti untuk mereka ...

Teringat semasa saya menunggu keputusan SRP keluar dahulu...cikgu-cikgu di sekolah saya rancak mengadakan program yang sememangnya menyeronokkan saya untuk menghadirkan diri ke sekolah...

Namun sekarang berlainan, banyak aktiviti yang tidak dapat dijalankan kerana kurang sambutan daripada pelajar. Asyik-asyik pelajar yang sama sahaja ...Kebanyakan pelajar suka duduk di rumah (ponteng sekolahlah...)... dan rasanya ramai yang akan mencari wang saku ( cari kerja ) untuk merasa memegang hasil titik peluh sendiri...

Kadang-kadang saya sentiasa berfikir...aktiviti apa yang boleh menarik minat mereka untuk hadir ke sekolah????

Isnin, Oktober 10, 2011

UNTUK INGATAN....

Ini adalah untuk ingatan kepada diri saya dan rakan-rakan sekelian. Mungkin ada antara kita yang sudah tahu mengenai code-code di bawah mengenai barangan yang mengandungi lemak haiwan yang haram tu...

Kalau ada masa simpanlah kod ini dalam dompet untuk memudahkan kita meneliti kandungan lemak dalam barangan yang kita beli supaya tiada rasa was-was...

1 E 100 16 E 280 31 E 434 46 E 482

2 E 110 17 E 300 32 E 435 47 E 483
3 E 120 18 E 301 33 E 436 48 E 491
4 E 140 19 E 325 34 E 440 49 E 492
5 E 141 20 E 326 35 E 441 50 E 493
6 E 153 21 E 327 36 E 470 51 E 494
7 E 160 22 E 334 37 E 471 52 E 495
8 E 161 23 E 335 38 E 472 53 E 542
9 E 210 24 E 336 39 E 473 54 E 570
10 E 213 25 E 337 40 E 474 55 E 572
11 E 214 26 E 422 41 E 475 56 E 631
12 E 216 27 E 430 42 E 476 57 E 635
13 E 234 28 E 431 43 E 477 58 E 904
14 E 252 29 E 432 44 E 478 59 E 920
15 E 270 30 E 433 45 E 481

Sama-samalah kita beringat-ingat...

Sabtu, Oktober 08, 2011

Dah Bagi Peha, Nak Betis Pula...ceh!

Belanjawan dah selesai dibentangkan oleh PM kita semalam. Berdebar-debar juga saya menantikan saat PM nak bentangkan belanjawan negara tu, suasana kat luar rumah pun sama juga, suhu sejuk, langit sentiasa mendung, hujan selebat-lebat tidak diikuti dengan kilat sambung menyambung sejak pukul 2.30 petang lagi...

Akhirnya, ramai yang tersenyum, tersenyum dan tersenyum...

Alhamdulillah, kakitangan awam mendapat sebahagian lagi bonus pada hujung tahun ini...terima kasih kepada Kerajaan Malaysia..

Memang sudah menjadi kebiasaan manusia..memang tidak akan berpuas hati dengan pemberian yang diberi.. ada sahaja tidak berpuas hati... Kalau tak diberi, akan dikata..dah diberi pun masih juga dikata...

Hari ini terbaca dalam akhbar Harian Metro, banyak pendapat yang ditanya dan dinyatakan..rata-ratanya suka dan gembira dengan pembentangan ini..Bagi yang bekerja swasta pula, memanglah tak berapa menggembirakan sebab nasib mereka masih lagi belum terbela..

Saya paling tertarik dengan kenyataan bahawa yuran sekolah dimansuhkan..Alhamdulillah sebab akhirnya orang yang berpendapatan rendah dan mempunyai anak yang ramai mampu untuk menyekolahkan anak-anak mereka tanpa bebanan yuran lagi...Bagi yang berkemampuan pula tak akan merasa apa-apa..

Dalam banyak-banyak pendapat terdapat pula pendapat yang menyatakan alangkah baiknya kalau yuran PIBG juga dimansuhkan.... Ada pendapat pula menyarankan supaya buku-buku latihan juga diberi percuma...Ini dah melampau!!!!.....

Inilah yang dikatakan "Diberi peha nak betis"...geram juga saya dengan kenyataan tersebut... Sepatutnya mereka bersyukur...

Selasa, Oktober 04, 2011

Berdebar-debar ....... PMR

Seawal pagi pelajar-pelajar sekolah saya sudah duduk bersila dan beratur di foyer sekolah saya. Pagi ini merupakan hari pertama mereka akan menghadap Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Ditambah lagi dengan cuaca yang sejuk dan lembap lanjutan daripada hujan yang dibawa oleh angin Sumatera yang bertiup atau angin peralihan monsun ini. Sejak subuh hinggalah tengah hari, hujan tidak juga reda-reda.. semakin gementarlah perasaan pelajar-pelajar ini...

Guru? Para guru lagilah gementar.. Dengar cerita seorang cikgu Bahasa Melayu sekolah saya tidak lena tidur malam tadi dek memikirkan peperiksaan Bahasa Melayu pagi ini.. Sebenarnya bukan cikgu tersebut sahaja yang berdebar-debar tetapi perasaan cikgu lain juga sama...

Semalam telah diadakan majlis Mohon Restu. Di majlis tersebut semua pelajar berbaris untuk memohon restu daripada guru-guru untuk mendapatkan keberkatan....Pelajar perempuan ada yang menanggis dan memeluk saya..rasa sedih juga dan hampir menitiskan air mata pula...sampai ada yang menegur saya, "cikgu, janganlah menanggis.."

Bagi pelajar pula, walaupun masa menunggu masuk ke dewan peperiksaan amatlah singkat, namun masih ada lagi pelajar yang tidak mahu membuang masa dengan berbual. Masing-masing memegang nota untuk dibaca atau dihafal..

Teringat semasa saya menghadapi peperiksaan di universiti dulu, saya juga berdebar-debar...takut sangat kalau tidak lulus...jadi sepanjang perjalanan ke dewan peperiksaan, saya akan membaca nota-nota kecil dan tidak akan bercakap dengan sesiapa pun.. saya takut jika ilmu atau maklumat yang telah ada di dalam otak saya ini akan terkeluar apabila saya mencampur adukkan dengan perbualan yang tidak menguntungkan...saya juga tidak suka berbincang sebelum peperikasaan mahupun selepas peperiksaan... Semua menakutkan...

Berbalik kepada peperiksaan ini, saya sebagai pendidik akan sentiasa mendoakan kejayaan pelajar-pelajar saya. Sememangnya saya ingin melihat mereka memperoleh kejayaan dengan mendapat semua A dalam semua mata pelajaran.

Saya sendiri tak sabar dengan reaksi mereka apabila mereka mendapat kejayaan yang todak diduga...

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN....

Ahad, Oktober 02, 2011

Bukan BENCI tapi tak suka...

Seminggu dua nie, mata saya asyik diasak dengan gambar-gambar perkahwinan artis sahaja. Sebagai seorang pendidik, saya juga manusia. Jadi, saya masih juga mengikuti perkembangan dunia hiburan melalui akhbar-akhbar utama ( tengok gambar dan baca tajuk sahaja ). Selalunya saya akan membaca akhbar semasa waktu rehat di perpustakaan sekolah. Jika hari minggu, saya akan membeli sendiri.

Semalam, saya ternampak gambar pernikahan Nabil dengan pasangannya. Pagi ini, saya terbaca pula tentang satu ruangan "Katarsis Kualong" di Pancaindera yang bertajuk Maaf, ikhlas atau tidak?..

Tiba-tiba saya teringatkan kisah perkahwinan pelakon Norman Hakim dengan Memey. Sejujurnya, saya memang tidak berapa berkenan dengan pasangan ini. Mungkin kerana isu-isu lama yang masih terpalit dan sukar hendak dilupakan. Bagi saya yang sudah berkahwin dan berusia sedemikian, memang tidak suka dengan situasi ini. Ditambah pula dengan cerita yang sentiasa dibesar-besarkan dan digembur-gemburkan oleh media massa. Lagilah saya tak gemar..

Tetiba saya dikejutkan dengan gambar-gambar di bawah . Semua gambar ini saya dapat dari album adik saya.

Inilah gambar keluarga adik perempuan saya.. Siap bergambar letak tangan kat bahu adik saya lagi...hebatkan macam dah lama berkenalan.. Ini malam sebelum persandingan mereka..Nasib baik saya tak jelous!!!

Tengok lagi gambar di bawah ini....

Gambar ni lagi saya tak suka ( jangan jadi macam saya tau )....siap pakai bunga kat tepi rambut malam-malam hari...

Dan gambar bawah ini....

Gambar ini tak keluar surat khabar tau...Gambar semulajadi..

Daaaaaan ini pula gambar kek kawin mereka...Kalau ada duit semua boleh jadikan???

Gambar di bawah pula adalah gambar Memey pada keesokan petangnya selepas bersanding...

Tapi apa-apa pun, saya tetap mendoakan mereka bahagia dan berharap semoga ini jodoh terakhir mereka....AMIN..

Rabu, September 28, 2011

PANAS TU SEJUK....

Peperiksaan PMR tinggal beberapa hari lagi....

Rasanya ramai calon PMR sudah semakin berdebar-debar untuk menghadapi hari tersebut.

Bagi yang sudah bersedia, syukur alhamdulillah...

Masa inilah untuk mereka menenangkan fikiran dan menumpukan semua perhatian kepada peperiksaan yang akan mendatang kelak..

Tetapi bagi sesiapa yang masih dalam angan-angan ( nak berjaya tapi tidak berusaha ), masih lagi dengan dunia mereka, akan merasakan bahawa mereka masih lagi tidak terancam..masih boleh bergembira...

Begitulah dengan kejadian yang saya alami sendiri.. Bermula naik sekolah selepas cuti raya tempoh hari sampailah hari ini, latih tubi tidak putus-putus dilakukan untuk kecemerlangan para pelajar .. Saya rasa bukan sekolah saya sahaja malah sekolah lain juga sedang bertungkus lumus untuk persediaan menghadapi peperiksaan ini...Masing-masing mahu memastikan para pelajar mereka lulus dengan cemerlang...

Para pelajar sudah mula bingung, celaru, keliru dan macam-macam lagi perasaan yang bergelora dalam hati mereka. Kadang-kadang mereka sampai tidak tahu apa yang perlu dilakukan lagi. Tidak tahu mana satu yang perlu diulang kaji...

Sampaikan terjadinya dialog seperti dibawah....

"Ok semua, saya hendak terangkan tentang ciri-ciri iklim.. tolong tumpukan perhatian..."

"Malaysia beriklim khatulistiwa iaitu panas dan lembap sepanjang tahun...maksud lembap itu ialah hujan dalam bahasa ringkasnya.."

"Kalau lembap itu menandakan hujan yang turun, apa pula maksud panas??"

"PANAS ITU SEJUK, CIKGU!!!" kata seorang pelajar lelaki dengan penuh keyakinan..

"Hah!! Panas tu sejuk???" jerkah saya...

Semua pelajar ketawa.... saya pun ketawa besar juga...

Kelas ini bukan kelas galus ( gagal lulus ) tetapi kelas yang baik... kenapa pelajar tersebut boleh berkata begitu???

Saya rasa sebab KELIRU, CELARU, dan sekeluarga dengannya....

Kepada calon-calon PMR, ambillah kesempatan yang ada ini untuk menenangkan fikiran anda, tarik nafas panjang-panjang....barulah buka buku dan ulang kaji pelajaran yang lemah...

Ahad, September 25, 2011

Malang tidak pernah berbau...

"Cte, aku tak boleh pergi marhabanlah...rumah aku terbakar!" rintih Cikgu Mahani dalam sedunya..

Belum sempat saya bertanya lanjut, talian telah terputus....

Dalam minda saya tertanya-tanya...

"Nak pergi marhaban ke, nak pergi ke rumah cikgu Mahani?"

Tapi bila memikirkan bahawa cikgu Mahani kesorangan, maka saya terpaksa korbankan marbahan...

Setibanya saya di sana. Saya terus memasuki rumah Cikgu Mahani, Terkejut saya...memanglah rumahnya tidak terbakar keseluruhannya...cuma terbakar bahagian dapurnya sahaja. Tetapi dalam rumah dia dari depan, bilik dan sampailah belakang semuanya hitam legam...

Inilah keadaan ruang tamunya..tapi banyak perabotnya telah dikeluarkan..

Inilah pula keadaan dapurnya pula..

Petang Jumaat lepas, saya dengan beberapa orang guru yang lain bekerjasama membersihkan mana-mana yang patut. Tempat yang perlu kami bersihkan dahulu ialah bilik utama. Ini memandangkan cikgu Mahani ni dah beberapa hari tidur meumpang di rumah adik iparnya dan hotel murah..

Inilah cikgu Mahani yang ditimpa bencana.. Hati ini hari dia, kita tidak tahu hari kita pula ...sebab Malang Tidak Berbau...

Setelah penat memberus dinding-dinding tersebut barulah bersih macam di atas... namun taklah bersih sangat sebab jelaga hitam tu amat sukar hendak dibuang..

Syukur alhamdulillah, malam tu dapatlah cikgu Mahani tidur di rumahnya sendiri beralaskan tilam sahaja...

Punca kebakaran masih lagi misteri sebab menurut bomba kebocoran gas namun tak pasti dari mana datangnya api. Nasib baik api tersebut terpadam sendiri kerana paip air bocor....

***************************************************************

Kenapa gambar saya jadi macam gini yea?????????

Ada sesiapa boleh bantu...

Jumaat, September 16, 2011

Bila Teman Lelaki anak beraya ke rumah..

Petang semalam, buat pertama kalinya saya menerima kunjungan orang yang tidak dikenali iaitu dua orang lelaki berusia lingkungan 20-an.

Bila dah kata hari raya, bermakna kenalah mempelawa mereka masuk ke rumah walaupun hati saya berat sekali. Ini kerana saya tidak menggalakkan budaya "pak we" "mak we" nie.

Lagi pula, anak-anak saya masih bersekolah dan tidak sesuai untuk mempunyai pasangan hidup. Tapi hidup di zaman serba mencabar dan terlalu banyak kemudahan komunikasi menyebabkan budaya ini sukar untuk dibendung. Begitu juga dengan anak-anak saya...

Sebagai seorang ibu yang belum pernah menghadapi situasi ini, saya mestilah berfikir panjang dan rasional. Sudah tentu saya menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang ibu. Jadi sesi beraya semalam seperti menjadi satu sesi temu bual atau soal siasat. Banyak yang saya cuba tanyakan kepada pemuda tersebut dan dijawab dengan baik juga.

Namun, naluri saya masih lagi tidak menyenang kehadiran pemuda tersebut. Dan saya nyatakan kepada pemuda tersebut bahawa saya mahu anak saya belajar dahulu. Saya tidak mahu anak saya hanyut dengan sandiwara dunia seperti budak-budak lain. saya mahu anak saya berjaya dahulu dan boleh menguruskan hidupnya sendiri di masa hadapan.

Nampaknya pemuda tersebut faham.

Bukan niat untuk memutuskan hubungan mereka, namun saya berdoa supaya anak saya akan sedar bahawa apa yang saya lakukan adalah untuk kebaikan dirinya. Oleh itu, kemudahan "handphone" akan saya tarik balik. Ditambah pula, tidak lama lagi anak-anak saya akan menghadapi peperiksaan akhir tahun dan saya mahu mereka tumpukan perhatian kepada pelajaran..

Apa pula pandangan sahabat dalam menangani permasalah diatas?

Boleh kongsikan bersama-sama...

Rabu, September 14, 2011

Keturunan Kencing Manis....akukah yang terpilih????

Arwah atuk perempuan sebelah emak saya meninggal semasa saya kecil lagi.. Dengar cerita arwah atuk perempuan saya tu meninggal disebabkan penyakit Kencing Manis yang dihidapinya itu...itu kisah dululah...

Sekarang, penyakit tersebut telah menurun kepada emak saya. Dengar cerita ( sebab mak saya suka sangat berahsia) tahap kemanisan darah emak saya itu pernah mencapai nombor 22 bacaannya. Memang tinggi kan? Manusia normal yang saya tahu ialah dalam 4 hingga 7 sahaja.

Emak saya pula pernah menyuntik insulin sendiri...kira penyakit tersebut agak parah kan? Saya sebenarnya pun baru tahu hal ini setelah dimaklumkan oleh anak saya. Anak saya pernah nampak emak saya menyuntik jarum di bahagian perutnya. tapi bila ditanya, emak saya diam sahaja tanpa berkata-kata...

Sebulan sebelum puasa yang lepas, emak saya telah ditahan di Hospital Kota Tinggi selama 20 hari..Terkejut juga sebab memang saya tahu dia sentiasa sakit kaki tapi tak sangka pula, rupa-rupanya kakinya sudah bernanah teruk ..20 hari juga emak saya ditahan...saya pula berulang-alik dari JB ke Kota Tinggi untuk menjenguk beliau. Itu yang saya jarang nak meng "up date " blog saya ni..

Beginilah keadaan kaki emak saya yang teruk itu...ngeri tau kalau tengok...sebelah tu kapas sahaja. .

Ini semasa saya melawat emak saya..kasihan mak sebab tidak boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda jika mahu bergerak ke mana-mana..Nasib baik kaki emak saya tidak kena potong...

Hari raya hari tu, kaki emak saya masih tak berapa baik tapi telah menampakkan perubahan yang positif. Alhamdulillah....

Masa akan datang, saya rasa saya juga akan mewarisi penyakit keturunan ini. Ini kerana semasa mengandung, saya didapati paras gula dalam darah saya tinggi.

Jadi, saya perlu berjaga-jaga sedari sekarang supaya penyakit ini tidak memudaratkan saya...

Khamis, September 08, 2011

GIGITAN SAYANG DI PAGI 1 SYAWAL

Kisah ini berlaku pagi sebelum raya...kira-kira pukul 3 pagi...

Sedang enak dibuai mimpi , tiba-tiba saya terasa kaki saya sakit. seakan-akan di gigit sesuatu. Namun saya tidak ambil peduli dan meneruskan tidur semula. mungkin gigitan sayang kot? he he he.

Tapi gigitan kedua telah membuatkan saya tersedar dari tidur dan terasa amat bisa..Ini baru betul-betul gigitan yang menyakitkan...tak ada gigitan sayang lagi tapi......

Apabila sedar sahaja, saya terus melihat-lihat dan mencari-cari apakah binatang yang telah menggigit kaki saya... Terperanjat besar saya bila saya ternampak seekor lipan yang besar dan hitam cuba lari ke bawah tilam...Ingin sahaja saha mencincang lipan tersebut , namun saya khuatir jika lipan tersebut akan menyerang anak-anak saya yang sedang tidur..

gambar pinjam google...

Apa yang boleh saya lakukan hanyalah ...menjerit sahaja....

Bisa sampai ke betis..rasa sakit sangat...tak lama kemudian, bisa mula terasa di peha pula...panik saya....

Suami ajak pergi ke klinik...ada ke klinik buka pagi-pagi buta hari raya ni?????

Sampai pekan Kota Tinggi, sunyi sepi...semua kedai tutup dan klinik yang 24 jam tu pun tutup....terus pergi ke hospital Kota Tinggi dan daftar bahagian kecemasan.. nasib baik dilayan dengan cepat...tak tahan bisanya....

Inilah klinik yang saya nak pergi...siap tulis 24 jam tapi malam raya tutup...

Tak pasal-pasal kena suntik dengan satu jarum kat punggung untuk tahan sakit dan dua suntikan bius lagi kat ibu jari untuk hilangkan bisa...lepas tu kena balut ibu jari...

Esok paginya..dalam sakit-sakit sempat juga melaram untuk menyambut hari raya...

********************************************

Bila ceritakan dengan abah dan mak keesokkan paginya, abah cakap ada petua tertentu jika hendak hilangkan bisa lipan tu..tapi agak geli jugaklah caranya...

Kata abah, kalau kita kena gigit dengan lipan, terus korek hidung dan selawat tiga kali dan usap dekat tempat yang kena gigit lipan tu...Biar betul??? gurau ke???

Tapi abah cakap memang itu petuanya...bukan main-main....lepas sapu tu, tak sampai lima minit dah hilang bisa dan boleh berlari-lari lagi....Tegas abah lagi....

Percaya? tak percaya? percaya? tak percaya????? tapi saya memang tak sanggup nak buat method tersebut...Gelilah!!!!!!

Kata suami pula, kalau ada batu lipan lagi mudah....letak batu tersebut di bahagian yang digigit..nanti batu lipan itu akan menyerap segala bisa lipan tersebut masuk dalam batu tersebut...entahlah mana satu boleh dipercayai...

Yang pasti dalam dunia serba moden ini, lebih baik pergi berjumpa doktor ambil suntikan dan ubat...rasa lebih dipercayai.... betul tak????

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...